SHAH ALAM: Kesemua syarikat penerbangan tempatan disarankan memulakan
penerbangan mereka dengan doa, demikian menurut Mufti Wilayah
Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Ujarnya berdoa merupakan satu amalan yang baik, sebagaimana yang
dituntut kepada umat Islam supaya berdoa sebelum memulakan sebarang
perjalanan supaya sentiasa dalam keadaan yang selamat dan lancar.
"Justeru, kami sejujurnya mencadangkan kepada syarikat-syarikat
penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), AirAsia,
Malindo dan Firefly untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang
dianjurkan.
"Ini akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah
keselamatan serta keamanan kerana difahami bahawa sememangnya musafir
itu sebahagian daripada azab dan masyaqqah (penderitaan atau kepayahan)
yang perlu ditempuh oleh orang yang berkelana," katanya dalam kenyataan.
Penerbangan awal pagi dari Perth ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu
terpaksa berpatah balik selepas pesawat Airbus A330 membawa 359
penumpang itu mengalami masalah teknikal pada satu daripada dua enjinnya
sejurus setelah berlepas.
Penumpang menceritakan pengalaman mereka yang merasai gegaran kuat di
dalam kabin pesawat itu. Kru penerbangan dipuji kerana berjaya menangani
situasi itu dengan baik.
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth
pada 10 pagi dan semua penumpang dipindahkan ke penerbangan berikutnya
pada 11:40 malam hari yang sama.
Bagaimanapun ia mencetuskan kontroversi apabila bekas Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempertikaikan tindakan
juruterbang AirAsia itu yang meminta penumpang supaya berdoa ketika
pesawat itu berpatah balik ke Perth.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.