NILAI: Dua beranak sempat menyelamatkan diri sebelum kereta jenis
Proton Persona yang dinaiki mereka terbakar di KM 280.7 Lebuh Raya
Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini pagi tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Fauzi Shamir
berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa, R.
Yugeswari, 33, dan ibunya yang hanya dikenali sebagai Ruekmono, 64,
dalam perjalanan dari Port Dickson menuju ke Subang Jaya, Selangor.
"Mangsa (Yugeswari) melihat asap keluar daripada bahagian enjin semasa dalam perjalanan lalu memberhentikan keretanya.
"Dia dan ibunya sempat keluar dari kereta itu sebelum api merebak
dengan pantas dan membakar 80 peratus kenderaan tersebut," katanya dalam
kenyataan di sini.
Mohd Fauzi berkata kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh dua kilometer di sepanjang lebuh raya berkenaan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung
kebakaran itu pada pukul 6.58 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira
15 minit kemudian.
"Seramai dua pegawai dan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nilai
bersama dua buah jentera dikerahkan memberi bantuan dan pihak kami
mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran
tersebut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.