Jumaat, 2 Jun 2017

‘Berapa jumlah tanah persekutuan yang dijual BN?’

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng mahu pemimpin BN tampil dan menjelaskan jumlah tanah persekutuan di Kuala Lumpur yang telah dijual oleh parti pemerintah.

Ini adalah susulan ‘Pasukan Komunikasi Strategik BN’ semalam yang mempersoalkan jumlah tanah di negeri itu yang masih milik Pulau Pinang selepas diterajui pimpinan DAP sejak tahun 2008

"Kerajaan BN juga perlu telus mengenai jumlah tanah yang dimiliki oleh agensi persekutuan di Kuala Lumpur yang telah dijual sejak tahun 2008, dan berapa banyak yang tinggal.

"Oleh kerana BN mula bercakap mengenai perkara ini, apa kata jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mendedahkan mana-mana tanah milik persekutuan di Kuala Lumpur yang telah dijual melalui tender terbuka?

"Kalau penjualan itu tidak melalui tender terbuka, bukankah ini satu bentuk amalan rasuah," soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Segambut itu memberi contoh bagaimana penjualan Terminal Bas Putra oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Umno yang langsung tanpa mendedahkan jumlah urus niaga itu.

Terminal itu akan digantikan dengan bangunan pejabat 70 tingkat dan sebuah menara hotel.

"Perdana Menteri Najib Razak mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan berapa banyak yang telah dibayar (untuk terminal itu).

“Apatah lagi selepas BN membuat pelbagai spekulasi tentang bagaimana kerajaan Pulau Pinang mendapat keuntungan daripada penjualan tanah milik kerajaan negeri," katanya.

Najib, katanya, perlu menjelaskan berapa banyak telah dibayar kepada DBKL bagi tanah itu dan dari mana Umno mendapat wang untuk pembelian tanah awam berkenaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.