Oleh Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat perlu mengikut
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul bersabit tindakan mereka yang
mengemukakan saman sivil terbaru untuk merampas tambahan aset AS$540
juta yang didakwa diperoleh dengan dana diseleweng dari 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Menurut penganalisis politik, Datuk Aidit Ghazali, tindakan DoJ itu
yang tidak melalui pihak berkuasa Malaysia menimbulkan keraguan kerana
asas kepada siasatan mereka boleh dipertikaikan.
"Sebagai contoh kita hendak buat siasatan tentang sesuatu subjek maka
selain daripada kita dapat daripada pihak luar tentang subjek itu kita
sendiri kena bertanya kepada subjek itu, kita kena bertanya dengan
badan-badan berkenaan subjek itu.
"Jadi dalam hal ini saya lihat DOJ tidak berhubung di pihak berkuasa di
Malaysia, justeru timbul kemusykilan didalam fikiran saya, mereka dapat
asas daripada mana bila hendak membuat siasatan," katanya ketika
dihubungi oleh pihak Antarapos.
Pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) mendakwa tiada keperluan untuk DoJ
merujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan sebarang
keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan
mereka bersabit 1MDB.
Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana saman
sivil yang dikemukan DoJ itu dikategorikan sebagai 'Judgement in Rem',
iaitu berkaitan dengan aset.
Mengulas lanjut, Aidit sekali lagi mengulangi keperluan untuk badan
asing itu menuruti SOP, sambil menambah, siasatan yang tidak melalui
sumber yang sahih boleh disifatkan sebagai tidak menyeluruh.
"Kalau dia tidak ikut SOP maka apakah status siasatan dia itu? Jika
status siasatan itu telah membuat kenyataan yang nyata, maka ini tidak
betul sebab kita hanya boleh keluarkan kenyataan yang nyata setelah kita
ini membuat siasatan yang terperinci dan mencukupi.
"Tapi dalam hal ini saya tidak nampak mereka membuat siasatan yang terperinci dan komprehensif," katanya lagi.
Aidit malah tidak menolak kemungkinan terdapat individu atau pihak yang
menjadi dalang dalam menyalurkan bukti-bukti yang tidak sahih kepada
badan asing itu.
"Saya mengesyaki ada pihak-pihak yang ada kepentingan politik yang
mungkin bekerjasama dengan pihak DOJ atau pun memberi apa yang dikatakan
sebagai perkara yang konon-konon dikatakan sebagai bukti tetapi
berstatus rapuh," katanya lagi.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata, tindakan DoJ
mengemukakan saman sivil terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
bersifat politik.
Menurut Apandi, ia berikutan DoJ tidak pernah membuat sebarang
permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang
keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan
mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.