Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Kerajaan PAS Kelantan sehingga hari ini masih belum menerima
sebarang surat peletakan jawatan daripada wakil pimpinan PKR negeri
itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan
Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, urusan pentadbiran
kerajaan negeri sehingga kini tetap berjalan seperti biasa.
"Belum lagi (terima surat peletakan jawatan), urusan berjalan seperti
biasa," katanya kepada Antarapos, ketika ditanya mengenai perkembangan
berhubung arahan peletakan jawatan wakil pimpinan PKR di negeri itu.
Pengerusi PKR Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir minggu lalu berkata,
kesemua wakil pimpinan PKR akan menyerahkan surat peletakan jawatan
mereka kepada kerajaan negeri secara serentak.
Ia susulan arahan Biro politik PKR yang bermesyuarat dua minggu lalu
yang memutuskan agar wakil pimpinan partinya di Kelantan meletakkan
jawatan mereka serta merta, selaras dengan keputusan PAS yang menamatkan
tahaluf siyasi di antara dua parti itu.
Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, pihaknya memilih akur kepada arahan
parti walaupun kerajaan PAS Kelantan masih membuka ruang kepada ahli
PKR untuk meneruskan perkhidmatan di negeri itu.
Dalam pada itu, Che Abdullah sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan
negeri yang masih mengalu-alukan penyertaan wakil pimpinan PKR untuk
meneruskan khidmat mereka.
"(Namun) Terpulang kepada anggota PKR sama ada terima atau tidak terima dan sebagainya," katanya lagi.
ADUN Wakaf Bharu itu berkata, sekiranya wakil pimpinan PKR tetap
bertegas untuk meletakkan jawatan, kerajaan negeri tidak ada hak untuk
memaksa atau menghalang pihak berkenaan berbuat demikian.
"Maknanya sekiranya ada kekosongan dan peletakan jawatan atau
sebagainya, kalau ada keperluan untuk kita mengisi jawatan tersebut,
kita akan isi," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.