shahbudindotcom
Berbeza
dengan banyak pendedahan lain yang saya buat kebelakangan ini, saya
agak terkejut apabila Setiausaha Media Perdana Menteri, Dato’ Tengku
Sariffuddin Tengku Ahmad semalam mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan
dakwaan bahawa Pejabat Perdana Menteri pernah melantik bekas pembantu
Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat.
Saya memetik satu perenggan kenyataan rasmi tersebut yang diterjemahkan seperti di bawah:
“..
Walau bagaimana pun, bertentangan dengan laporan media dan
pengisytiharan yang difailkan, Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan
Malaysia tidak pernah mengarahkan, melantik atau memberi kontrak baik
kepada Godfrey Group Ltd, firma 45 Group atau (bekas pembantu Presiden
Trump) Healy Baumgardner-Nardone..”
Maksud
kenyataan media rasmi Pejabat Perdana Menteri ialah sementara Pejabat
Perdana Menteri tidak menafikan kesahihan pengisytiharan kerja-kerja
melobi yang difailkan oleh bekas pembantu Presiden Trump itu, Pejabat
Perdana Menteri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana Pejabat
Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan atau
melantik firma-firma yang dinamakan di dalam pengisytiharan yang
difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu.
Ini
bukanlah kali pertama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak
menggunakan alasan sebegini untuk menafikan sesuatu. Dalam kes dana awam
dari SRC International Limited, beliau dilaporkan menyatakan di dalam
kes saman yang sedang berjalan di mahkamah bahawa beliau tidak tahu
menahu tentang dana yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau.
Saya
mengesyaki semasa kenyataan media rasmi ini dikeluarkan, Pejabat
Perdana Menteri tidak sedar bahawa satu lagi pengisytiharan tambahan
telah difailkan oleh firma pelobi 45 Group yang dimiliki bekas pembantu
Presiden Trump, Healy Baumgardner-Nardone.
Pengisytiharan
tambahan itu memberi maklumat yang lebih jelas mengenai siapa yang
terlibat, siapa di belakang syarikat misteri Godfrey Group Limited yang
menjadi pengantara di antara Pejabat Perdana Menteri dan pelobi di
Washington serta perjanjian yang ditandatangani.
Saya
sertakan keseluruhan dokumen pengiystiharan iaitu Exhibit A dan Exhibit
B (yang melampirkan perjanjian lantikan untuk kerja-kerja melobi di
antara Godfrey Group Limited dan 45 Group).
Daripada dokumen-dokumen pengisytiharan ini, kita dapat mengesahkan perkara-perkara berikut:
1)
Dato’ Seri Najib disahkan sebagai pegawai kerajaan yang berurusan
dengan pelobi di Amerika Syarikat (lihat Perkara 6 dalam Exhibit A).
2)
Walaupun kontrak lantikan melobi ini tidak dibayar oleh Kerajaan
Malaysia, pelobi di Washington tetap berurusan dengan pegawai-pegawai
Kerajaan Malaysia. Ini menunjukkan kenyataan media Pejabat Perdana
Malaysia semalam kononnya Pejabat Perdana Malaysia atau Kerajaan
Malaysia “tidak tahu menahu” adalah tidak tepat.
3) Kontrak melobi ini turut melibatkan usaha mengatur pertemuan di antara Kerajaan Amerika Syarikat dan Kerajaan Malaysia.
4)
Perjanjian ini dibuat oleh Godfrey Group Limited yang didaftarkan
sebagai syarikat pesisir pantai (offshore company) di British Virgin
Island (BVI) yang bermaksud syarikat ini dilindungi dengan kerahsiaan
dan tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu siapa yang memiliki syarikat
ini.
5) Bekas pembantu Trump, Healy
Baumgardner-Nardone dibayar USD25,000 (bersamaan RM100,000) setiap bulan
pada awal bulan untuk menyediakan perkhidmatan melobi ini
6)
Syarikat Godfrey Group Limited (walaupun didaftarkan dalam penuh
kerahsiaan di British Virgin Island) menggunakan alamat surat menyurat
di Taman Molek, Johor Bahru.
7) Perjanjian lantikan kontrak melobi ini ditandatangani oleh seorang yang bernama Florence Goh mewakili Godfrey Group Limited.
Dokumen-dokumen
ini secara jelas menunjukkan bahawa kerja-kerja melobi melibatkan
pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Malah Dato’ Seri Najib sendiri
dinamakan sebagai pegawai kerajaan yang akan berurusan dengan firma
melobi ini.
Saya dengan segera cuba menyemak latar belakang Florence Goh yang menjadi pengarah Godfrey Group Limited.
Alamat
42, Jalan Molek 2/3 membawa kepada sebuah syarikat yang benar-benar
wujud iaitu CRT Insights Technologies Sdn Bhd yang disenaraikan sebagai
sebuah pembekal khidmat latihan yang berdaftar dengan Dana Pembangunan
Sumber Manusia (HRDF) Kementerian Sumber Manusia, seperti di bawah:
https://www.hrdf.com.my/DigiGov/digigovportal.htm?actionFlag=SC_getSearchCompoPage&isPopup=0&isAnonymous=true&tableid=row&d-16544-p=5&hideActionBtns=Y&screenMode=edit&elementId=1100889&applicationMstId=1100011&defaultSearchCrt=1100100~1~N~N&changeLang=en_US
Dari
situ, saya membuat carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan
mengesahkan bahawa CRT Insights Technologies Sdn Bhd benar-benar wujud
dan dimiliki oleh seorang bernama Goh Siew Boey yang maklumatnya nampak
sama dengan Florence Goh seperti di dalam perjanjian kontrak melobi yang
diisytiharkan di Amerika Syarikat.
Saya
sertakan carian SSM yang menamakan Goh Siew Boey sebagai pemegang saham
dan pengarah CRT Insights Technologies Sdn Bhd. Alamat perniagaan CRT
Insights Technologies Sdn Bhd adalah sama dengan alamat Godfrey Group
Limited di 42, Jalan Molek 2/3.
Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya menyeru supaya:
i.
Dato’ Seri Najib berterus terang dan menyatakan sama ada 45 Group (yang
dimiliki bekas pembantu Presiden Trump) telah berbohong apabila
menamakan Perdana Menteri sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang
berurusan dengan beliau (Healy Baumgardner-Nardone);
ii.
Jika Healy Baumgardner-Nardone telah berbohong di dalam pengisytiharan
kerja melobi yang difailkan sehingga mengheret nama Dato’ Seri Najib,
maka Kerajaan Malaysia perlulah dengan serta merta mengambil tindakan
undang-undang terhadap Healy Baumgardner-Nardone dan memaklumkan secara
rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat bahawa pengisytiharan yang
difailkan adalah tidak benar;
iii. Florence Goh
memberi keterangan terbuka secepat mungkin siapa yang menyuruh beliau
(melalui Godfrey Group Limited) melantik bekas pembantu Presiden Trump
melobi Kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Pejabat Perdana Menteri;
iv.
Florence Goh dengan segera menyatakan dari mana dana RM1.125 juta (atau
USD250,000) diperolehi untuk membayar syarikat lobi 45 Group bagi
kerja-kerja melobi bagi pihak Kerajaan Malaysia; dan
v.
Jika benar kenyataan media Pejabat Perdana Menteri semalam bahawa
Kerajaan Malaysia tidak tahu menahu mengenai perkara ini, maka Dato’
Seri Najib perlu membuat laporan polis serta merta kepada Florence Goh
kerana telah melakukan jenayah menggunakan nama Kerajaan Malaysia tanpa
kebenaran dan menyamar mewakili Kerajaan Malaysia.
Saya
berharap Dato’ Seri Najib sedar bahawa perkara ini akan terus mendapat
perhatian di Amerika Syarikat dan di Malaysia; seterusnya mencemarkan
lagi reputasi beliau yang sudah pun tercemar.
Beliau
tidak boleh beranggapan dengan memberi kenyataan mudah seolah-olah
syarikat Godfrey Group dan Florence Goh telah “menderma” (sekali lagi)
demi kebaikan Kerajaan Malaysia tanpa pengetahuan beliau, perkara ini
akan hilang begitu sahaja.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
27 MEI 2017.
Ulasan Blog - Ini
adalah satu lagi cabaran terbuka untuk Perdana Menteri, Najib Razak.
Sekiranya beliau ada kejujuran dan tiada apa-apa yang hendak
dilindungkan, tidaklah sukar sebenarnya untuk menyahut apa yang dituntut
Rafizi ini.
Seluruh
rakyat tentunya ingin benar tahu juga kebenaran mengenai perlantikan
serta bayaran lumayan kepada pelobi di Amerika Syarikat itu. Meskipun
semalam Pejabat Perdana Menteri telah membuat penafian, tetapi nampaknya
dengan bukti-bukti baru yang ditunjukkan, menafi kosong saja tidak
lagi memadai.
Penjelasan
yang lebih konkrit dan meyakinkan adalah diperlukan, atau
setidak-tidaknya sebagaimana yang disebut oleh Rafizi, buat saja laporan
polis mengenainya.
Sebaiknya
juga Najib sendiri harus berani tampil dengan jawapannya. Jika kita
masih ingat, Tun Mahathir Mohamad turut pernah dikaitkan dengan membayar
sejumlah wang kepada pelobi Amerika Syarikat ketika era pentadbiran
George Bush dahulu, tetapi beliau tidak pernah takut untuk tampil
menjelaskannya.
Maka,
dalam kes ini, Najib juga tidak seharusnya takut untuk tampil dengan
kata-kata daripada mulutnya sendiri, bukan lagi melalui pegawainya
semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.