Terapi ozon ini tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa kepada kematian
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengharamkan rawatan terapi ozon dan mengarahkan semua premis perniagaan termasuk klinik dan salun kecantikan agar berhenti menawarkan perkhidmatan itu serta merta.
Menterinya, Dr S Subramaniam berkata penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit.
“Terapi ozon ini tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa kepada kematian,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Selain itu, katanya, setakat ini, tiada mana-mana pihak yang menjalankan perkhidmatan terapi ozon yang mendaftarkan mesin mereka dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Justeru, katanya, semua pembuat, pengimport dan pengedar mesin terapi ozon perlu menarik semula pengedaran atau penggunaan mesin tersebut dari pasaran selewat-lewatnya pada 1 Julai ini.
Dr Subramaniam berkata kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka didakwa di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Pihak kementerian mendapati mesin ini kebanyakannya dipasang dalam negara manakala peralatan dalaman diimport dari luar negara,” katanya.
Katanya, penggunaan produk heparin (ubat untuk mencairkan darah) bagi rawatan terapi ozon juga adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952 yang dikuatkuasakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF).
Katanya, tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pusat penjagaan kesihatan berlesen atau berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, yang menawarkan rawatan terapi ozon.
“Kita dapat lihat mereka melakukan banyak kesalahan di bawah pelbagai akta. Jadi, saya nasihatkan rakyat Malaysia agar berhenti mendapatkan rawatan terapi ozon ini,” katanya.
Justeru, Dr Subramaniam berkata semua agensi terlibat akan menjalankan penguatkuasaan terhadap premis-premis yang manawarkan perkhidmatan itu.
Orang awam yang ingin membuat aduan terhadap premis yang menawarkan perkhidmatan terapi ozon boleh dikemukakan kepada Majlis Perubatan Malaysia di talian 03-2691 2171 atau faks ke 03-2691 2937 atau email ke admin.mmc@moh.gov.my.
Sebelum ini, isu rawatan terapi ozon tular di media sosial selepas beberapa artis terkenal tanah air mempromosikan kaedah rawatan itu yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit serta melambatkan penuaan.
Bagaimanapun, artis-artis terbabit kemudiannya menarik balik sokongan mereka terhadap terapi itu selepas ia tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.