Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Paparan muka depan akhbar The Star pada Sabtu lalu dilihat
tidak bermaksud untuk menimbulkan sebarang kontroversi lantaran susun
aturnya (layout) dilakukan mengikut panduan penyusunan berita.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil
Wariya bagaimanapun tidak monolak sekiranya pembaca terkeliru ekoran
dua berita yang berbeza tidak 'dipisahkan' secara jelas.
“Saya tengok dari segi ‘layout’ (susun atur) tiada masalah.
“Sebab dia ada dua cerita, satu pasal pengganas Malaysia, tapi dia ada ‘garisan’ halus yang memisahkan gambar dan cerita itu.
“Cuma bila diletakkan dalam satu muka jadi mungkin ia memberi implikasi
yang berbeza, tapi dari segi ‘layout’ saya nampak, sebab dia ada garis
pemisah di antara dua cerita tu," katanya kepada Antarapos.
Paparan muka depan The Star pada Sabtu lalu menimbulkan rasa kurang
senang ramai pihak apabila memaparkan gambar umat Islam sedang
menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan dengan tajuk muka
depannya ‘Malaysian Terrorist Leader’.
The Star pada semalam diberikan tempoh selama tujuh hari bagi menjawab
surat tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dikenakan tindakan, susulan
laporan muka depan itu.
Sekiranya gagal, akhbar berkenaan bakal berdepan dengan tindakan
penggantungan permit penerbitan, selain tindakan-tindakan di bawah Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984
Dalam pada itu Chamil menasihatkan semua agensi media di negara ini
untuk lebih peka dan sensitif dengan sebarang berita yang dikeluarkan
bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Kadang kesilapan ni memang dilakukan oleh sesiapa, tapi nak kata perlu berhati-hati tu, mungkin perlulah.
“Dari segi layout memang dia dah jelaskan cerita yang di atas tu cerita
lain, bawah tu cerita lain dengan keterangannya, cuma bagi pembaca
umum, mungkin akan merasa keliru.
“Mungkin dari sensitiviti, maknanya untuk masa depan supaya semua
media, bukan sahaja The Star untuk lebih berhati-hati dan berusaha untuk
lebih sensitif dengan penyiaran gambar dan berita yang positif dan
negatif pada muka yang sama,” ujarnya.
Tambah beliau, akhbar berbahasa Inggeris perlu memanfaatkan tempoh
tujuh hari yang diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk
menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang agenda tertentu
berhubung berhubung paparan muka depan itu.
“Saya rasa tempoh tu patut digunakan dengan sebaiknya oleh akhbar The
Star untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sama ada ia
disengajakan atau sebaliknya.
“The Star perlu meyakinkan KDN untuk menjelaskan bahawa mereka tidak
ada agenda tersirat untuk memburukkan Islam dengan menyiarkan cerita
yang pertama itu dengan gambar tersebut," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.