IPOH: MIC berhasrat untuk terus bertanding di kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Buntong di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
berdasarkan persetujuan yang disuarakan pimpinan parti di peringkat
pusat.
Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk M. Saravanan berkata
pihaknya melihat tiada sebab untuk kerusi DUN berkenaan yang kini
disandang oleh DAP diserahkan kepada parti komponen lain dalam Barisan
Nasional (BN).
Katanya, pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan yang dianjurkan MIC
turut mendapat sambutan daripada semua golongan termasuk para belia di
kawasan DUN tersebut.
"Aktiviti yang dijalankan MIC di DUN Buntong bukan hanya mengambil kira
berkaitan pilihan raya malah ia dilaksanakan demi meningkatkan taraf
ekonomi dan sosial terutama masyarakat kaum India di sini," katanya
kepada pemberita selepas majlis penyampaian pertandingan bola sepak
sembilan sebelah di sini pada Ahad.
Pada 5 Mac lepas, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP),
Tan Sri M Kayveas berkata pihaknya berhasrat untuk bertanding di kerusi
DUN Buntong sekiranya diberi peluang oleh pucuk pimpinan tertinggi BN.
Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata hasrat
yang diluahkan oleh Kayveas itu tidak lebih daripada cadangan peribadi
beliau atau MyPPP sendiri.
"Kita hormati cadangan beliau itu namun setakat ini masih ada pimpinan
MIC yang layak untuk dicalonkan di DUN Buntong," katanya.
Pada PRU13 pada 5 Mei 2013, calon DAP A. Sivasubramaniam menang kerusi
DUN Buntong dengan mengalahkan calon BN, C. Sivarraajah dari MIC dan dua
calon Bebas - Sebastiar Iruthiyam dan Mohd Basri Safie - dengan
majoriti 8,629 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.