Isnin, 1 Mei 2017

Himpunan 1 Mei lancar tabung pemberhentian pekerja

Tabung itu bertujuan membayar sejumlah wang kepada pekerja apabila majikan muflis dan gagal membayar pampasan
 
 
 
psm-1


KUALA LUMPUR: Himpunan 1 Mei yang berlangsung hari ini sempena Hari Pekerja mengemukakan 22 tuntutan termasuk pelaksanaan tabung pemberhentian pekerja yang bermatlamat menjamin kebajikan pekerja.

“Tabung ini bertujuan membayar sejumlah wang kepada pekerja apabila majikan muflis dan gagal membayar pampasan,” kata Ahli Jawatankuasa Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sivaranjani.

Selain itu, tuntutan berkenaan turut mendesak akta yang menindas rakyat seperti Akta Hasutan 1948 dihapuskan dan menuntut hak orang kurang upaya (OKU) dijamin.

Menurut Sivaranjani, beliau menjemput semua pihak termasuk pemimpin pembangkang lain menyertai perhimpunan itu, namun ia berlangsung tanpa kehadiran mereka.

Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar selaku penganjur perhimpunan berkata, Himpunan 1 Mei adalah himpunan khusus untuk rakyat dan tanpa kehadiran pembangkang lain bukanlah masalah besar.

“Sebenarnya, ia adalah pentas rakyat, jika pembangkang lain datang, mereka perlu berarak seperti kami,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun 22 tuntutan itu turut mendapat sokongan Amanah dan Pemuda Sosialis DAP.

Pada perhimpunan itu, kira-kira 500 peserta berkumpul di perkarangan Masjid Negara jam 9.30 pagi dan sekitar jam 10.40 pagi mereka berarak ke Jalan Bukit Bintang.

Menurut Jeyakumar, beliau berpuas hati dengan jumlah peserta Himpunan 1 Mei kali ini walaupun jumlahnya agak kecil berbanding himpunan lain.

“Saya gembira kerana himpunan ini dihadiri pelbagai kaum, ramai yang turun padang,” katanya.

Himpunan 1 Mei ini yang diketuai PSM dan 15 lagi badan bukan kerajaan lain.

Himpunan yang berakhir kira-kira jam 1 tengah hari itu berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang tangkapan.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.