ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Khabar angin tentang empat ADUN PKR akan lompat parti bagi menubuhkan kerajaan campuran baru di Selangor disifatkan sebagai propaganda semata-mata.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, spekulasi tersebut mungkin berpunca daripada pihak yang ‘ingin kembali’.
“Itu hanya propaganda dan spekulasi semata-mata. Mungkin ada pihak yang kecewa kehilangan kedudukan satu ketika dahulu berharap untuk kembali.
"Sejak 2008 ramai ADUN dikaitkan melompat sana sini namun ia tidak berlaku. Jika ada pun hanya satu kes terpencil di Selangor.
“Kita sedar ada sedikit usaha pihak tertentu ke arah itu sejak November 2014 lagi dan terbaru, mereka merisik khabar dengan beberapa ADUN. Mungkin mereka terlibat dengan penyiaran propaganda itu,” katanya kepada portal Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah blog mengatakan empat ADUN PKR akan meninggalkan parti itu dan menubuhkan kerajaan baru.
Katanya, di sebalik khabar angin itu, kerjasama dengan semua ADUN dari PAS, Amanah, DAP dan PKR berjalan dengan baik hingga kini.
“Malam ini pun beberapa ADUN dari PKR dan PAS menyertai delegasi menteri besar ke Timur Tengah bagi meninjau keadaan pelajar-pelajar Selangor di sana.
“Maka tiada masalah besar atau apa-apa yang berlaku. Kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan lancar. Pakatan Selangor akan teruskan pentadbiran seperti biasa dan kami kekal fokus dengan agenda Membangun Bangsa, Memakmur Negeri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.