Bayi berkenaan berada dalam keadaan baik walaupun terdapat sedikit luka sepanjang tiga sentimeter di atas kepala sebelah kanan dan telah pun menerima dua jahitan.
TEMERLOH: Bayi lelaki yang ditemui dibuang di dalam tong sampah bertutup di hadapan sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya, di sini pagi semalam akan diberikan nama Mohd Ramadan sempena mengambil keberkatan bulan yang penuh barakah untuk umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Mutimedia Negeri Shahaniza
Shamsuddin berkata bayi seberat 2.4 kilogram yang ditemui pada hari kedua umat Islam mengerjakan ibadah puasa semalam, kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini.
“Bayi berkenaan berada dalam keadaan baik walaupun terdapat sedikit luka sepanjang tiga sentimeter di atas kepala sebelah kanan dan telah pun menerima dua jahitan. Untuk sementara bayi lelaki ini akan ditempatkan di HOSHAH untuk pemerhatian selama seminggu.
“Kemudian bayi ini akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak dan kerajaan negeri akan membantu segala aspek kebajikan bayi malang ini dalam tempoh jagaan berkenaan,”katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa hampir setengah jam melawat bayi berkenaan di NICU HOSHAS dengan turut diiringi Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainal Abidin.
Katanya pihak JKM telah pun menerima banyak permohonan untuk menjadikan bayi berkenaan sebagai anak angkat, namun ia akan mengambil sedikit masa kerana perlu melalui beberapa prosedur tertentu selain hanya boleh dilakukan jika tiada tuntutan hak penjagaan daripada keluarga bayi berkenaan.
Dalam masa yang sama Shahaniza turut menasihati remaja dan wanita di negeri ini supaya menjaga diri dan mengelak diri daripada pergaulan bebas untuk menghindar kejadian hamil luar nikah.
“Ini bukan satu perkara baharu di negara kita dan apabila terjadinya kehamilan luar nikah ini, maka akan berlaku kes buang bayi ini kerana takut kesilapan itu diketahui, sedangkan bayi-bayi ini tidak berdosa.
Dalam kes kali ini, bayi ini bernasib baik apabila dapat diselamatkan kerana cepat ditemui oleh penduduk,” katanya.
Dalam kejadian pada 6.20 petang semalam, seorang bayi lelaki ditemui dalam tong sampah di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya dalam keadaan masih bertali pusat dan dibalut dengan kertas surat khabar.
Bayi berkenaan ditemui oleh seorang penduduk yang baharu sahaja pulang daripada mengerjakan solat Subuh di masjid berhampiran sebelum bertindak membawanya ke HOSHAS.
Sementara itu Zulkhairi menasihati mana-mana wanita yang melahirkan anak luar nikah supaya tidak membuang bayi mereka sebaliknya menyerahkan di mana-mana pusat JKM untuk membolehkan kebajikannya dijaga.
“Jangan takut sebab kami tidak akan mengambil tindakan, malah identiti mereka juga akan kami rahsiakan. JKM juga bersedia menjaga mana-mana wanita yang hamil luar nikah sehingga mereka melahirkan anak sekiranya mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju,” katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.