Isnin, 1 Mei 2017

AWAN mahu manifesto khas untuk pekerja wanita

MALAYSIA DATELINE

Dr Siti Mariah MahmudDr Siti Mariah Mahmud


Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) akan memastikan manifesto khusus kepada golongan wanita diwujudkan dalam tawaran Pakatan Harapan bagi melindungi hak-hak dan kepentingan para pekerja.

Ketuanya Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pengalaman luas Pakatan Harapan semasa mentadbir Selangor dan Pulau Pinang meyakinkan beliau bahawa gabungan parti politik ini mempunyai keupayaan yang jauh lebih tinggi untuk melindungi hak-hak dan kepentingan para pekerja.

Beliau berkata demikian dalam ucapan kepada seluruh pekerja di Malaysia sempena Hari Pekerja hari ini.
Ahli parlimen Kota Raja itu juga berkata, Awan sentiasa mengalu-alukan sebarang dasar progresif yang membela hak-hak pekerja-pekerja wanita.

"Langkah beberapa institusi perbankan tahun ini seperti Maybank dan Standard Chartered yang memberikan cuti bersalin lebih panjang dengan bergaji boleh membantu kaum ibu yang bekerja mendapat lebih ketenangan dan fokus dalam menguruskan kerjaya serta keluarga.

"Walau bagaimanapun, saya yakin masih terdapat banyak lagi ruang-ruang yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kebajikan para pekerja meliputi soal elaun, tempoh masa bekerja, cuti dan sebagainya.

"Tidak lupa juga kepentingan untuk mewujudkan suasana tempat kerja yang selamat kepada golongan wanita daripada sebarang penganiayaan dan gangguan berbentuk seksual," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau juga, suasana ekonomi semasa yang menghakis nilai wang dan kuasa beli meletakkan para pekerja dalam tekanan bagi menguruskan kehidupan dan keluarga.

"Dalam sesetengah situasi, terdapat pekerja yang terpaksa membuat dua atau lebih kerja hanya untuk menampung keperluan harian sahaja.

"Walaupun secara asasnya nampak baik, tetapi keadaan ini juga boleh menyebabkan masa bersama keluarga turut terjejas sehingga menjejaskan keharmonian antara ibu bapa dan anak-anak.

"Saya senantiasa memandang serius perkara ini kerana konsep bekerja sebagai satu ibadah untuk menampung keperluan hidup dan membina keluarga yang sejahtera sudah terjejas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.