ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Selepas terpalit isu ahli keluar parti, Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) kini dicemari dengan dakwaan wujud aktiviti jual
jawatan tertinggi peringkat bahagian di Johor.
Seorang sumber berkepentingan dalam parti itu mendedahkan kepada Sinar
Harian mendakwa, seorang individu telah ditawarkan jawatan ketua
bahagian PPBM di negeri itu namun perlu mematuhi syarat-syarat tertentu.
Sumber itu mendakwa, antara syarat tawaran yang diberikan menerusi
aplikasi WhatsApp itu ialah individu itu perlu membayar RM250,000 untuk
mendapatkan jawatan tersebut selain syarat sampingan yang perlu dipatuhi
ketika jawatan itu menjadi miliknya.
"Selain wang tunai yang perlu diberikan, syarat lain yang perlu
dilaksanakan ialah menyediakan pejabat kekal, mengekalkan ahli jawatan
kuasa sedia ada dan elaun bulanan mengikut ranking, memberikan gaji
kepada setiausaha dan meneruskan serta menambah program di bahagian
tersebut.
"Itu baru satu bahagian. Bagaimana pula dengan bahagian PPBM yang lain?," dedahnya yang dipetik dari akhbar itu.
Sumber tersebut turut mendedahkan, ada kalangan ketua bahagian parti itu berstatus muflis tetapi tetap dilantik.
"Malah, beberapa ketua bahagian juga didakwa mempunyai rekod
dikehendaki polis. Bagaimana lantikan dan sumpah ikrar terhadap
presiden parti itu boleh dilakukan sekiranya ada ketua bahagian muflis
dan mempunyai rekod polis?
"Sebelum lantikan dibuat, seharusnya kesemua calon ketua bahagian
diselidik latar belakang mereka. Tidak sukar untuk menyemak sejumlah
nama ini," katanya.
Sementara itu, sumber tersebut mempersoalkan adakah pucuk pimpinan
tertinggi PPBM menyedari perkara tersebut atau adakah lantikan itu
dilakukan secara tangkap muat bagi membuktikan bahawa mereka merupakan
parti yang sudah bersedia berdepan PRU14 nanti.
"Pucuk pimpinan tertinggi PPBM seharusnya memandang serius berhubung
apa yang berlaku di negeri ini. Jangan kerana nila setitik, perjuangan
PPBM terus berkubu," katanya.
Katanya, tindakan beberapa individu ini telah merosakkan parti dan ia telah melemahkan semangat akar umbi.
"Mereka membawa budaya politik dari parti-parti tertentu. Kita di bawah
mahukan pemimpin yang benar-benar ikhlas bagi membawa negara ke arah
yang tepat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.