Selasa, 25 April 2017
Umno Kelantan ada tiga kapten?
Oleh Mohd Sayuti Omar
Semasa berucap pada majlis Makan Malam Gelombang Merah anjuran Himpunan Mahasiswa Kelantan (HIMSAK), Ahmad Zahid Hamidi memberi semangat kepada golongan mahasiswa di Kelantan supaya membawa perubahan berdasarkan perpaduan dan intelektualisme dan kerohanian.
Mesej disebalik saranan itu, apa yang TPM itu mahu mahasiswa menjadi agen membentuk gelombang untuk merampas Kelantan dari tangan Pas dalam Piraum akan datang.
Menurut Zahid pada masa ini adalah waktu terbaik untuk Umno dikuasai Kelantan kerana Yang Dipertuan Agong sekarang ini dari Kelantan. Apakah kaitan Agong dengan keperluan mengubah kerajaan Kelantan kepada Umno?
Zahid kata dia tidak berpolitik mengenai "kebetulan" -- Agong asal Kelantan itu? Tetapi kalau bukan berpolitik kenapa dia mengaitkan nama Agong dengan cita-cita besar Umno untuk rampas Kelantan? Itu politiklah namanya duhai si Zahid.
Tidak dapat dipastikan apakah mahasiswa yang hadir malam itu terbangkit atau tidak dengan cadangan Zahid itu. Atau mereka yang kebanyakannya datang dibawa jauh dari Kelantan, menghadiri majlis makan malam itu kerana hendak bersefie dengan Timbalan Perdana Menteri sahaja kemudian balik kekal dengan agenda dan persepsi politik sendiri?
Difahamkan seramai 30,000 mahasiswa yang bernaung di bawah Himsak? Itu satu jumlah besar yang boleh mewarnakan corak dan masa depan Kelantan sekiranya mereka menyahut seruan Zahid Hamidi itu. Memahami golongan mahasiswa sebagai entiti yang berada dalam realiti semasa mereka sangat tahu akan apa yang berlaku di Kelantan sekarang ini.
Beberapa aspek kehidupan terutamanya dari segi pembangunan dicapai Kelantan serta kelemahan urustadbir negeri Kelantan muasir ini pasti kontradik dengan daya intelektual dan semangat jiwa muda mereka. Ada beberapa kelompongan dalam pentadbiran yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Masalah pengangguran dan ketiadaan peluang pekerjaan menjadi hambatan besar kepada golongan mahasiswa dan rakyat Kelantan. Sebagai mahasiswa golongan yang dilihat mempunyai daya intelektual, mereka dapat membuat penilaian dan menggunakan ukuran sendiri serta perencanaan untuk membina masa depan yang baik. Seharusnya mahasiswa membantu usaha kerajaan membangun negeri tanpa mengira parti mana menguasai negeri itu.
Tetapi kesemestian itu nampakknya tidak akan berlaku. Ini kerana beberapa realitas yang ada di Kelantan bukan sahaja golongan mahasiswa tetapi rakyat biasa juga sudah dapat menilai sejauh mana keupayaan serta melihat sendiri kegagalan pentadbir Kelantan. Kesedaran ini menyebabkan rakyat awam sudah berasakan keperluan untuk mengubah kerajaan negeri sudah berbunga di jiwa. Manakala golongan mahasiswa golongan yang berpengetahuan menjauhi kerajaan Kelantan.
Hari ini hasil daripada pendedahan mengenai kelemahan dan keburukan pentadbiran kerajaan Kelantan, rakyat sudah bosan dan mengharapkan perubahan kerajaan berlaku di Kelantan. Berbagai kelemahan dan sikap dingin kerajaan dalam memberi reaksi kepada setiap pendedahan, menyebabkan orang berfikir kerajaan tidak ada daya upaya serta idea lagi untuk membaiki kepincangan dan kelemahan yang berlaku.
Kesungguhan juga tidak ada apabila segala teguran dan kritikan seolah tidak didengari langsung. Pihak kerajaan pula mengambil sikap mempertahankan diri mereka dengan memaki hamun pengkritik. Satu tindakan yang sekali lagi menggambarkan ketidakupayaan kerajaan.
Sambutan hangat keapda Parti Amanah Negara (Amanah) dan kini PBBM juga menjelaskan akan selera mahu perubahan rakyat begitu tinggi. Memandang itu semua, menyebabkan rakyat kini melihat kepada keupayaan Umno sepenuhnya untuk mengambil alih pentadbiran Kelantan. Dari sudut perkiraaan Umno lebih berkesempatan. Pun begitu dalam masa sama, rakyat juga sedang menilai kemampuan parti baharu Amanah yang bergabung dengan PPBM.
Mungkin dalam konteks seruan Zahid tadi, Umno lebih relevan dan sesuai untuk mengambil alih Kelantan dalam Piraum akan datang. Mahasiswa yang didik diberi makan dan segala macam kemudahan lebih tertarik dan jinak dengan Umno, melainkan mereka -- mahasiswa yang membebaskan diri mereka daripada sebaranag dogma Melayu dan Islam akan menghitung keupayaan oposisi setelah mereka menghafal sejarah pemerintahan Umno.
Persoalan sekarang ini, sejauh manakah Umno sendiri bersiap sedia. Tidak ada gunanaya mahasiswa digerak untuk melakukan perubahan kalau Umno sendiri, para pemimpin dan organisasinya tidak bersedia. Sebelum membuat gesaan dan seruan itu elok kalau Zahid melihat ke dalam Umno Kelantan terlebih dahulu. Beliau memantapkan dulu kedudukan Umno Kelantan. Memasuki kapal bernama Umno Kelantan dan membuat selidikan sebaik mungkin.
Zahid tidak boleh mengukur kekuatan dan kesediaan Umno dari luar tanpa meninjau sendiri ke segenap sudut kapal berkenaan. Beliau perlu masuk ke bahagian karbin, bahagian ekor, kepala dan juga ke bilik-bilik istirehat kapten.
Sejauh manakah Umno Kelantan telah bersiap sedia? Kalau mahasiswa itu diharap menjadi pendayung kepada bahtera besar bernama Umno, apakah bahtera itu sudah dilengkap dengan segala kelengkapan, dan paling penting apakah kaptennya sudah bersedia. Sudahkah Zahid mengenali kapten yang akan mengemudikan Umno? Dan tahukan beliau di luar sana masih ada ahli yang belum sekata menerima kapten yang patut mengemudikan bahtera Umno.
Perkara inilah yang msih berkecamkukan. Belum kelihatan wujud persefahaman dan kepaduan seiya sekata dalam Umno. Sedar atau tidak dalam kapal bernama Umno Kelantan itu ada tiga orang kapten yang sedang mengemudikan bahtera itu. Pertama Mustapa Mohamed yang memang dilantik oleh parti untuk menjadi kapten, mengemudikan Umno dari dalam. Selain beliau masih ada dua lagi yang juga bertindak dan diterima sebagai kapten, mengemudikan dari jauh dengan membina persepsi buruk kepada kapten dilantik itu.
Walaupun dua kapten lagi tidak diiktiraf oleh parti tetapi mereka seperti diiktiraf oleh sesetengah ahli Umno di Kelantan. Mereka yang berpihak kepada kapten itu membuat gerakan sendiri untuk memastikan kapten mereka meluncurkan bahtera itu. Dua kapten dimaksudkan itu ialah Awang Adik Hussein dan Annuar Musa. Ketidakkebersamaan dapat dilihat apabila jarang Annuar dan Awang Adek hadir atau bersama dalam program anjuran Umno Kelantan dimana Mustapa menjadi kepalanya.
Kenyataan-kenyataan atau gerak kerja politik Mustapa dalam konteks untuk merampas Kelantan juga jarang disokong oleh mereka berdua ini.
Masalah kewujudan kapten kapal penyamun ini perlu diberesi dahulu oleh Zahid sebelum beliau menggesak mahasiswa membentuk gelombang. Tidak ada guna gelombang dibentuk kalau kedudukan kapten kapal itu tidak diperkemaskan sokongnya. Zahid perlu menggunakan kedudukannya sebagai orang menjalani tugas-tugas timbalan presiden memastikan bahawa Umno Kelantan ada seorang sahaja kapten, dan perlu melenyapkan persepsi ahli Umno yang ada dua lagi kapten.
Mungkin apa yang diceritakan ini dinafikan oleh pihak-pihak tertentu dalam Umno sendiri. Namun bagi mereka yang arif dan cekap membaca gerak politik Umno Kelantan mengetahui dan menyedari hal ini. Kewujudan dua kapten di luar kapal ini membahaykan Umno. Ia boleh berlaku seizure (perampasan kuasa) disaat kapal sedang berlayar.
Sementara itu kempen atau gerak saraf memburukkan Mustapa berlaku di luar sana, dan juga dalam grup-grup whatsaap. Gerakan ini tidak menular keluar tetapi dari dalam ia menjadi suatu hal yang tidak dapat disembunyikan lagi. Keadaan ini menyebabkan Umno kelihatan seoerti orang gemuk tetapi berpenyakit.
Selain daripada itu ada beberapa masalah kecil Umno yang perlu dibereskan. Namun masalah kewujudan dua kapten adalah masalah utama kerana perjalanan bahtera Umno tidak boleh ada tiga jalur. Selagi masalah kapten ini tidak diselesaikan, seruan agar mahasiswa membentuk gelombang merah untuk menenggelamkan kerajaan Pas Kelantan tidak akan berjaya. Mungkin Umno hanya mencipta gelombang tetapi yang mendapat manfaat dari gelombang nanti orang lain.-http://msomelayu.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.