ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman
penjara lima tahun ke atas bekas pelajar sarjana, Siti Noor Aishah Atan
selepas mendapati beliau bersalah atas tuduhan yang berkaitan dengan
pemilikan 12 buku berkaitan dengan keganasan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samad berkata mahkamah
berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan, dan menyatakan bahawa
pembelaan tertuduh "tidak munasabah langsung".
"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun
Keseksaan," katanya.
Menyampaikan keputusannya kemudian, Shariff juga mengecam tindakan Siti Aishah sebagai "jijik dan kotor".
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki 12 buah buku yang
merupakan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan
kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lot 1241, Jalan
Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari,
22 Mac tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh
dilucut hak mana-mana bahan tersebut.
"Tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh
tangkapan pertama," kata hakim , sambil mengarahkan buku-buku yang
dirampas itu dimusnahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.