Sabtu, 1 April 2017

Polis, Sosma dan siswi


ULASAN | Usia 209 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Namun itulah usia pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini.

Pengalaman, rangkaian dan kepakarannya tentu sudah menyeluruh. Usia tersebut adalah berasaskan tahun pengistiharan Piagam Keadilan (Charter of Justice) pada 1807 di Pulau Pinang.

Ketika itu Light mentadbir Pulau Pinang.

Pada 25 Mac 1807, piagam pun diterima. Dengan itu Pulau Pinang bolehlah mengadakan mahkamah yang sebenar, selain menubuhkan organisasi polis yang lebih baik berlandaskan Piagam Keadilan (Charter of Justice).

Piagam ini mewujudkan undang-undang jelas untuk mereka yang dipertanggungjawabkan melaksanakan keadilan itu.

Meskipun sejarah polis boleh dikesan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, namun semangat sejarah PDRM masih bernafas kolonial.

Jika disemak sejarah polis zaman Light, ia adalah satu pasukan keselamatan untuk melindungi penjajah yang merompak khazanah tanah jajahannya. Light mengupah sepoi-sepoi (askar) dari India yang tidak berdisiplin untuk menjaga keselamatan dan menegakkan keadilan di Pulau Pinang. Bolehlah dibayangkan apakah makna keselamatan dan keadilan ketika itu.

Entah di mana silapnya falsafah sejarah ini. Sedangkan Sultan Melaka sudah menghasilkan Kanun Laut Melaka dan Kanun Melaka 300 tahun lebih awal dari itu.

Agaknya inilah yang dinamakan Pierre Bourdieu - seorang ahli sosiologi Perancis - sebagai symbolic violence. Jika diterjemahkan secara literal, symbolic violence adalah suatu keadaan keganasan secara halus yang memusnahkan unsur-unsur tradisi dalam masyarakat asal.

Tak padan dengan 12 buku

Kesan keganasan ini jauh lebih parah pada pemikiran dan cara hidup masyarakat. Keganasan fizikal memberi kesan fizikal. ‘Symbolic violence’ merencatkan dan merosakkan pemikiran bukan seorang tetapi sebuah masyarakat.

Bourdieu lebih menekankan hal penghasilan pengetahuan dalam sesuatu masyarakat secara lebih berstruktur seperti sistem pendidikan negara. Namun di zaman media internet, garis pemisah antara ‘knowledge’ (pengetahuan) dan ‘information’ (maklumat) adalah senipis kulit bawang.

Lambakan maklumat ini mempengaruhi pemikiran masyarakat. Biasanya lambakan maklumat atau sistem yang berstruktur lebih berkesan daripada lambakan secara rambang dan individu.

Masyarakat berada dalam satu ilusi atau khayalan yang dicipta oleh penguasa. Masyarakat akan teraba-raba mencari kebenaran dan keadilan. Mereka hidup dalam kepalsuan dan ketakutan yang diterima secara pasrah. Konsep "negara polis" semakin sukar dalam zaman globalisasi sebegini. Namun konsep ‘state’ (negara) itu sendiri suatu yang sangat sistematik mengawal tingkah laku dan cara berfikir masyarakat.

Maka adalah semacam tidak padan untuk menangkap seorang mahasiswi kerana menyimpan 12 naskhah buku halal untuk kajian sarjananya atas dakwaan ia berunsur ‘terrorist’.

Bukankah PDRM adalah antara pasukan keselamatan terhebat di dunia? Malah mungkin lebih hebat daripada FBI, CIA atau KGB. Bagi warga universiti, tindakan ini adalah suatu yang tidak boleh diterima langsung.

Sayangnya, suara dari menara gading sekadar sayup-sayup seperti suara azan subuh melintasi telinga tatkala dingin mencengkam seluruh tubuh.

Universiti adalah tempat segala macam pemikiran berhimpun. Ia bukan sekadar kampus mahasiswa dan pensyarah berwacana. Universiti bukan kilang atau penjara. Ia melahirkan para teknokrat, saintis, ulama, seniman atau apa jua.

Ia adalah tempat berwacana pemikiran dan kebijaksanaan. Ia tidak sekadar kritis tetapi inovasi, kreatif dan progressif. Bahkan, sesetengah jabatan kerajaan dan syarikat swasta ada menghantar kakitangannya masuk ke universiti untuk menambahkan kualiti pengetahuannya.

Begitu juga PDRM, ada menghantar kakitangan atau pegawainya mendaftar sebagai pelajar pascaijazah. Mereka datang bukan untuk mengintip, tetapi mengutip ilmu pengetahuan.

Jika mengambil jurusan pemikiran, falsafah, sains politik dan sebagainya di universiti, kita tidak boleh menjadi seperti pelajar sekolah. Buku teksnya diberi percuma. Buku rujukannya tidak terbatas.

Undang-undang suara rakyat

Di unversiti berlaku pembangunan akal mahasiswa. Pemikiran dicabar dengan aliran yang pelbagai, rencam malah asing. Mahasiswa pemikirannya masih muda dan hijau tetapi pada masa sama, keras fikiran dan semangatnya.

Lebih tidak masuk akal sihat, sewaktu menangkap mahasiswi Melayu di rumahnya, dikhabarkan lebih 40 anggota polis lengkap bersenjata datang menyerbu.

Rumah milik orang tuanya itu ialah sebuah rumah satu bilik yang pintunya hanya sejalur kain penghadang pandangan mata. Bukan batu atau besi keluli. Entah berpagar entah tidak, atau hanya ada rumput laut yang renek di hadapan rumah. Cerita Ali Baba Dengan 40 Penyamun pun rasanya tidak sebegitu.

Jika benar sekalipun "terrorist" yang ditangkap, tiadakah langkah lain untuk mengertak sasaran itu? Cara ini hanya melahirkan apa yang disebut oleh Karl Marx sebagai "kesedaran palsu" pada publik tentang "terrorist" dan semakin mekarlah "disobedience", "political violence" dalam negara.

Pihak berkuasa sedang membentuk habitus dalam masyarakat secara salah. Dalam apa juga sistem pemerintahan, kita memerlukan pasukan keselamatan atau polis. Polis adalah antara institusi yang melaksanakan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ini bermakna undang-undang negara adalah suara rakyat. Wakil rakyat adalah pembuat undang-undang. Menjadi sifat sesuatu undang-undang ialah mengikut norma-norma dalam masyarakat.

Mahasiswi itu dikurung di Penjara Pengkalan Chepa lebih sebulan, sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang selama hampir lima bulan. Minggu lepas ditangkap semula.

Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca, dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - adalah hasil daripada pemikiran masyarakat.

Memang zahirnya, Poca dan Sosma tidak demokratik. Tetapi perlu diingat kedua-dua akta itu dilahirkan dari perut parlimen yang merupakan antara usus kuasa dalam sistem demokrasi negara.

Pengadilan tanpa bicara adalah suatu kezaliman. Dan itulah yang dihasilkan oleh sistem demokrasi negara ini. Poca dan Sosma juga boleh dimusnahkan melalui sistem demokrasi negara.

Ini juga bergantung kepada sejauh mana masyarakat bebas daripada kerangka pemikiran tertawan (captive mind).

Undang-undang memang tidak memilih kaya atau miskin, rakyat atau pemimpin, pandai atau bebal dan sebagainya. Namun setidak-tidaknya undang-undang perlu ditegakkan oleh kuasa yang bijak dan bukan atas kapasiti kekuasaan yang ada.

Saya ucapkan Selamat Hari Polis biarpun agak terlewat. Salam solidariti pada kita semua sebagai "mangsa" pada undang-undang dan segala kod, prosedur, peraturan yang telah mati kebijaksanaan penghakiman dan keberanian berhujah.

DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Ketika ini berkhidmat i Universiti Teknologi Petronas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.