Oleh Shuhaniza Said & Ainor Rahim
ALOR SETAR: PKR tetap mengharapkan PAS meneruskan tahaluf siyasi
sungguhpun wujud desakan daripada sayap Pemuda dan Ulama parti itu agar
memutuskan hubungan kerjasama politik mereka.
Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, tahaluf siyasi
kedua-dua parti wajar dikekalkan mengambil kira hubungan yang sudah
terjalin selama 18 tahun.
"PKR kita sudah berada dengan PAS sejak 18 tahun jadi kami merasakan
ianya wajar dikekalkan kerana ianya merupakan penghubung antara PKR
dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika ditemui pemberita selepas
pembukaan Muktamar PAS Pusat kali ke-63 hari ini.
Bagaimanapun katanya, PKR akan menunggu keputusan akhir yang akan dibuat Majlis Syura Ulama PAS.
"Itu keputusan yang akan dibuat PAS jadi terpulang kepada PAS untuk
buat keputusan walaupun telah diputuskan sayap Pemuda dan Ulama, tapi
keputusan akhir akan diputuskan Majlis Syura.
"Bagi kami, kami telah bersama PAS selama 18 tahun sejak tahun 1999
lagi dan sejak itu kita masih kekalkan tahaluf siyasi," kata beliau.
Shaharuddin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan
Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS yang meluluskan usul putus
hubungan dengan PKR tanpa bahas, kelmarin dan semalam.
Bagaimanapun usul tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.
Keputusan itu, jika diluluskan, akan menyebabkan berlakunya
pertembungan kerusi dengan PKR yang menganggotai PH bersama DAP, Amanah
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Merumitkan keadaan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail semalam pula menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak
jawatan sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan
hubungan dengan PKR.
Saifuddin mendakwa, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah
memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam
kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.
Mengulas mengenai kenyataan Saifuddin itu, Shaharuddin menyifatkan
kenyataan tersebut hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili PKR.
"Kita biro politik PKR tidak pernah buat keputusan itu (minta exco PAS letak jawatan dalam kerajaan Selangor).
"Itu pandangan peribadi dan tidak diputuskan parti," katanya.
Ditanya lebih lanjut mengenai hala tuju hubungan kedua-dua parti,
Shaharuddin berkata walaupun PAS bertekad memutuskan hubungan dengan PKR
bentuk kerjasama boleh berlaku dengan pelbagai cara.
"Dalam politik boleh berlaku pelbagai cara, kalau bukan dengan
tahaluf, dia boleh berlaku dengan cara lain seperti persetujuan bersama
dan sebagainya dan kita akan lihat perkembangan dari masa ke semasa,"
kata Shaharuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.