Selasa, 25 April 2017

'PAS tegas pertahan pendirian atas dasar kewajipan bukan sombong

ANTARAPOS.COM
Post Pic


KUALA LUMPUR: Pendirian tegas PAS mempertahankan prinsip perjuangan adalah atas dasar kewajipan bukan sombong, demikian kata pengarah penerangannya, Ahmad Amzah Hashim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang melabel parti itu sebagai sombong kerana menyuruh parti pembangkang lain supaya memberi jalan kepadanya untuk bertanding satu lawan satu dengan Umno bagi Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).

Ahmad Amzad berkata, komposisi umat Islam lebih 64 peratus dalam Malaysia, tetapi urusan dan hak mengamalkan agama Islam kini bagaikan perlu surat minta izin dari mereka yang minoriti pula, sekalipun hal berkenaan sikitpun tidak melibatkan orang bukan Islam.

“Kini dalam soal politik pun, rosaknya pemikiran umat Islam yang terpengaruh aliran liberalisme, sekularisme, pluralisme, gerakan feminisme dan LGBT konon berpaksikan kebebasan intelektual sedang mengajak rakyat menerima Pakatan Harapan yang jelas hala tujunya dikawal oleh DAP, yang keras serta jelas pendirian anti-Islamnya.

“DAP mahu memaksakan versi Islam yang ditentukan olehnya sepertimana ia mengawal fatwa di Pulau Pinang perlu mendapat kelulusan Exco Pulau Pinang yang terdiri cuma tiga orang Islam dan tujuh bukan Islam dengan dipengerusikan oleh pemimpin DAP sendiri,” tambahnya.

Ahmad Amjad berkata, jelas daripada tingkah laku dan kenyataan pemimpinnya, Pakatan Harapan telah mengambil posisi kebersamaan dengan DAP dalam isu ini.

“Dalam semua keadaan ini, adalah tidak patut bagi PAS tunduk dalam apa keadaan sekalipun sejajar sifat PAS sebagai sebuah parti Islam, harapan agama Islam, harapan umat Islam,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Penerangan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan sebagai “mengarah” semua parti pembangkang supaya jangan bertanding dalam 80 kerusi PAS pada PRU14 bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dengan Umno.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.