KABOTAJ adalah pengangkutan barangan atau
penumpang antara dua titik dalam negara yang sama. Asalnya bermula
dengan perkapalan, kabotaj kini juga meliputi penerbangan, kereta api
dan pengangkutan jalan. Kabotaj adalah "perdagangan atau pelayaran di
perairan pantai, atau, hak eksklusif negara untuk menguruskan trafik
udara di wilayah itu. Dari segi politik, kabotaj adalah untuk mengawal
had perdagangan dengan syarikat tempatan dikenali sebagai perlindungan.
Asas bagi peraturan kabotaj termasuk keselamatan negara dan keperluan
untuk melindungi keselamatan awam.
Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman
Zohari Abang Haji Openg setiap barang yang kita import perlu melalui
Pelabuhan Klang. Pada masa lalu, mungkin ia boleh diterima kerana
terdapat kekurangan volum tetapi sekarang, kami telah mewujudkan
perdagangan antarabangsa.
Jadi ia adalah masa untuk menghapuskan kabotaj supaya kapal-kapal dari luar negara boleh datang terus ke Sarawak.
PAS menyokong penuh saranan Ketua Menteri Sarawak agar Sarawak diberi
kebebasan untuk mengimpot barangan dari luar tanpa perlu melalui
Pelabuhan Klang. Jarak perjalanan dan untuk kapal dagang dari luar
berurusan dengan Pelabuhan Klang menyebabkan barang dari China dan Jepun
menjadi lebih mahal.
Kos pengangkutan untuk berulang-alik untuk sampai ke pelabuhan yang
terdapat di Sarawak menjadi mahal disebabkan terpaksa melalui Pelabuhan
Klang.
Dari dulu lagi kita pernah sarankan pemansuhan dasar kabotaj di
Sarawak kerana ianya boleh mengurangkan kos harga barangan untuk rakyat
Sarawak. Dengan pemansuhan dasar kabotaj ini sekurang-kurangnya harga
barangan di Sarawak akan setanding atau kurang dari harga barangan dari
Semenanjung Malaysia.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat dan tidak stabil ini maka
seharusnya kerajaan persekutuan memansuhkan dasar kabotaj untuk Sarawak
dan Sarawak berhak mendapatkan kuasa autonomi bagi memudahkan urusan
perdagangan di peringkat antarabangsa.
Mungkin ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan beban pengguna
yang terpaksa bayar lebih harga barangan dari luar negara. Kita menggesa
kerajaan persekutuan dapat menilai sendiri pemintaan kerajaan Sarawak
ini kerana ianya melibatkan pengguna serta keperluan rakyat tempatan.
Pemansuhan dasar kabotaj juga boleh merangsangkan lagi pembangunan
dan meringankan kos pelan pembangunan infrastruktur asas di negeri ini
seperti bahan-bahan binaan yang murah dan pengguna juga boleh membeli
barangan keperluan dengan harga yang berpatutan. Kerajaan juga perlu
memantau harga barangan keperluan agar ianya tidak dijual dengan harga
yang terlampau tinggi sehingga membebankan pengguna.
Mudah-mudahan hasrat kerajaan dan rakyat Sarawak untuk melihat
pemansuhan dasar kabotaj oleh kerajaan persekutuan menjadi kenyataan dan
boleh meringankan beban harga kos barangan keperluan asas di Sarawak.
Sarawak tidak memerlukan dasar kabotaj kerana ia tidak adil bagi negeri
ini. - HARAKAHDAILY
* Jofri Jaraie Pesuruhjaya PAS Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.