Oleh Syed Mu'az Syed Putra
ALOR SETAR: Kejayaan golongan ulama dalam pemilihan PAS 2015
memperlihatkan parti itu kini 'tenang' dalam menggerakkan kepimpinan
baru dengan wajah baru tanpa istilah profesional mahupun ulama, kata
bekas Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan.
Pemilihan parti kali ini juga berjalan lancar lebih-lebih lagi kesemua
jawatan panas dalam PAS sudah diketahui selepas menang tanpa bertanding.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Sementara Muhammad Khalil Abdul Hadi menang jawatan Ketua Pemuda juga
tanpa bertanding selepas penyandangnya Nik Abduh Nik Aziz enggan
mempertahankan kerusi tersebut.
"Tak ada, setakat ini tenang setelah peristiwa muktamar pada 2015 sejak
kami tenang," katan Nasruddin yang ditemui selepas proses pengundian
barisan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) baru PAS Pusat sempena Muktamar
Tahunan Ke-63 di Kompleks PAS Kedah.
"Dari segi gerak kerja memang akan membentuk pasukan mewakili semua dan pasukan kerja pula perkara kedua yang kita seimbangkan.
"Sekarang ini adalah untuk membina pasukan kepimpinan," katanya.
Untuk rekod pemilihan barisan kepimpinan dalam Muktamar Tahunan PAS
2015 menyaksikan perwakilan membawa suara yang jelas mahu golongan ulama
memimpin parti itu.
Ia memperlihatkan golongan profesional yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kalah teruk.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal menang jawatan presiden parti bagi
penggal 2015-2017, sekali gus melakar rekod peneraju paling lama
berbanding tiga lagi bekas presiden sebelum ini.
Manakala Mohamad yang menyandang jawatan timbalan presiden selama tiga
penggal turut ditolak perwakilan dengan pencabar jawatan itu Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man menjadi pilihan perwakilan.
Tiga jawatan Naib Presiden turut dimenangi golongan pro ulama. Mereka
ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah,
anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS
Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.
Tiada lagi dua kumpulan dalam PAS
Mengulas lanjut Nasrudin berkata kemenangan pada 2015 meletakkan parti Islam berada di prestasi terbaik.
"Pada kali ini boleh dikatakan isu ini dah tak berbangkit, ia tak timbul dah soal profesional atau ustaz," katanya.
Justeru beliau menganggap pemilihan kali ini tidak kurang sengitnya
kerana kriteria yang dilihat perwakilan bukan kepada siapa calon tetapi
prestasi calon yang bertanding.
"Sekarang ini soal prestasi, siapa lebih menonjol prestasinya maknanya siapa yang lebih bekerja keras," katanya.
"Jadi isu ulama dan profesional tak berbangkit.
"Boleh sahaja dan ia pernah berlaku dalam PAS sebelum ini seperti naib
presiden itu semua profesional dan kadang-kadang semua ulama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.