ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Tun Arifin Zakaria yang mencapai tempoh perkhidmatan 66 tahun enam bulan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini pelantikan itu
diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berdasarkan Fasal
(1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas berunding dengan Majlis
Raja-Raja.
Kenyataan itu memaklumkan Sultan Muhammad juga memperkenankan
pelantikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai
Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Md Raus.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop pula dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Zulkefli.
Semua pelantikan tersebut berkuat kuasa 1 April.
"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada Tun Arifin Zakaria di atas segala khidmat bakti
beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah
Persekutuan," menurut kenyataan itu.
Sultan Muhammad juga telah memberi perkenan supaya majlis penyampaian
watikah-watikah pelantikan untuk hakim-hakim berkenaan diadakan Isnin
ini (3 April) pada pukul 11 pagi.
Ketua Hakim Negara akan mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan
dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.