shahbudindotcom
Situasi 1 - Debat
antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz yang sepatutnya diadakan
di MRSM Kuala Kangsar pada 25 Mac lalu dibatalkan kerana tidak mendapat
permit polis.
Polis
memberi alasan faktor keselamatan dan ketenteraman awam mengapa permit
tidak diluluskan, meskipun kapasiti dewan hanya boleh memuatkan 800
orang.
Apakah 800 orang yang datang dengan hanya telefon pintar di tangan begitu sukar dikawal?
Selain itu, polis juga memberi alasan kerana ada lapan laporan polis yang dibuat oleh NGO membantah debat tersebut.
Ironinya,
surat pembatalan oleh pihak polis itu dikeluarkan setelah Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi
sendiri memberi lampu hijau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur
Jazlan Mohamed pula mengatakan, debat itu akan dibenarkan untuk
diadakan.
Selapis
pandang, ia seolah-olah Zahid Hamidi dan Nur Jazlan tiada kuasa atau
cengkaman terhadap polis sehingga IPD Kuala Kangsar dilihat lebih besar
kuasanya atau boleh jadi mereka menerima arahan daipada pihak lain yang
lebih ditakuti.
Pembatalan
itu membuatkan Nazri melenting dan marah serta mengingatkan pihak polis
bahawa Malaysia adalah negara demokrasi, bukan negara polis.
Lanjutan
itu, dengan kerjasama Sinar Harian serta persetujuan Tun Mahathir dan
Nazri, mereka setuju debat atau wacana dipindah-tempatkan ke Auditorium
Sinar Harian, di Shah Alam.
Tarikh yang dipersetujui ialah 7 April, jam 9.30 malam.
Memandanngkan
Sinar Harian sudah menganjurkan debat dan wacana sebanyak 44 kali
sebelum ini dan kawasan itu pula merupakan milik persendirian,
berdasarkan Akta Perhimpunan Aman, tiada permit polis diperlukan.
Yang disyaratkan sekadar pemakluman kepada pihak polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum sesuatu program hendak diadakan.
Perkara
tersebut ditekankan sendiri oleh Nazri dengan berkata, "saya tahu
tentang Akta Perhimpunan Aman sebab saya yang membentangkannya di
Parlimen."
Lantaran itu, sebenarnya tiada sebab debat di Shah Alam boleh dibatalkan.
Situasi 2 - Menjelang
debat yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat pada 7 April itu, semua
persiapan dan pemakluman telah pun dilakukan oleh pihak penganjur iaitu
Sinar Harian.
Walaupun
banyak pihak tetap ada keraguan sama ada Najib Razak masih mahu
membenarkan Nazri berdebat dengan Tun Mahathir, lebih-lebih lagi kerana
lawan debatnya itu merupakan musuh nombor satu Perdana Menteri, selain
topik perdebatan iaitu antaranya 1MDB dan wang RM2,600 juta tentunya
meresahkan fikiran mereka yang tinggal di Seri Perdana, Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan itu tetap tidak luntur semangatnya.
Berbanding
Tun Mahathir yang mengatakan sudah lama bersedia untuk berdebat
berkaitan tajuk-tajuk tersebut dengan sesiapa saja, Nazri pula memberi
jaminan bahawa beliau tidak akan duduk diam saja dalam debat itu nanti
sepertimana diamnya dia ketika menikmati cendol dan laksa di Dataran
Sungai Perak sebelum itu.
Pada
31 Mac, pihak penganjur memaklumkan mereka sudah menerima surat
daripada Polis Shah Alam yang memberi kebenaran debat itu dilangsungkan.
Beberapa
syarat biasa turut ditetapkan, selain kehadiran penonton hanya dihadkan
kepada 300 orang saja - 100 jemputan Tun Mahathir, 100 jemputan Nazri
dan 100 lagi jemputan penganjur iaitu Sinar Harian.
Tidak
sampai 24 jam kemudian, penganjur sekali lagi menerima surat daripada
Polis Shah Alam yang menyatakan debat itu tidak dibenar untuk diadakan.
Alasannya juga kerada faktor keselamatan dan ketenteraman awam, disamping kononnya ada bantahan penduduk setempat.
Jika
dulu, pembatalannya dilihat pelik kerana seperti membelakangkan Menteri
dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, kali ini rupa-rupanya kelulusan
hanya diberi dalam tempoh sehari saja. 31hb Mac lulus, 1 April batal.
Boleh dicatat sebagai sejarah barangkali.
Bagaimana
ada bantahan penduduk juga agak menghairankan kerana pejabat Sinar
Harian itu adalah kawasan penempatan kilang, lagi pula mereka sudah
menganjurkan debat atau wacana sebanyak 44 kali sebelum ini.
Jika kali ini dianggap gangguan, bagaimana debat dan wacana sebelum ini boleh dibenarkan?
Kawan-kawan
yang mulut agak jahat pula menyindir, di Kuala Kangsar kehadiran 800
dianggap mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, rupa-rupanya 300
orang di Shah Alam juga dikira sudah bahaya kepada pihak polis.
Dalam
kedua-dua situasi pembatalan itu, kuasa polis atas pertimbangan
keselamatan dan ketenteraman awam telah dijadikan sandaran untuk
menidakkan debat daripada menjadi kenyataan.
Kali
pertama, pembatalan dilakukan setelah Menteri dan Timbalan Menteri
sendiri memberi lampu hijau dan kebenaran, manakala kali kedua, surat
pembatalan menyusul hanya sehari selepas kelulusan diberikan sedangkan
debat diadakan di kawasan persendirian dan telah mematuhi syarat-syarat
di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Apa gambarannya?
Pertama,
terlihat seolah-olah Zahid Hamidi tiada kuasa serta kawalan kepada
bidang tugas yang seharusnya beliau mempunyai peranan dan kedua, kalau
pun beliau cuba menunjuk seperti ada kuasa, ada orang lain boleh
memangkah kuasanya itu pada bila-bila masa.
Jelas
bahawa Zahid secara halus sedang dipamerkan sebagai tidak cukup wibawa
dan kekuatan, di sebalik orangramai juga memahami yang benar-benar takut
debat menjadi kenyataan ialah Najib sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.