Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz
Angkatan
Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak bertarikh 29 Mac 2017 bahawa kerajaan persekutuan
tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah
Syariah 1965 (RUU 355) di Parlimen berikutan keputusan mesyuarat Majlis
Tertinggi Barisan Nasional.
Keputusan ini jelas bercanggah
dengan kenyataan perdana menteri sendiri dalam laporan mStar bertarikh
1 Disember 2016 yang memberi jaminan bahawa pindaan terhadap Rang
Undang-Undang 355 akan diambil alih pihak kerajaan ketika menyampaikan
ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sementara itu, Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dalam kenyataan bertarikh 17
Mac 2017 telah berjanji bahawa kerajaan persekutuan akan mengambil
alih pindaan RUU tersebut untuk dibentangkan di Dewan Rakyat atas
komitmen yang diberikan oleh perdana menteri untuk menterjemahkan
hasrat tersebut.
Selain itu, ia juga selari dengan kenyataan
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
sebelum ini bertarikh 24 November 2016 yang menyatakan kerajaan
persekutuan akan mengambil tanggungjawab membawa RUU ini setelah urusan
berkenaan tatacara dan peraturan Dewan Rakyat selesai.
Abim
mendesak pihak kerajaan untuk tampil dengan penuh tanggungjawab memberi
penjelasan sepenuhnya kepada umat Islam berhubung pendirian sebenar
dan jaminan yang telah diberikan berhubung isu RUU 355 ini.
Penjelasan ini amat penting untuk membersihkan imej kerajaan hari ini
yang dilihat dengan sengaja memperguna sentimen agama bagi tujuan
kepentingan politik semata-mata.
Bagi Abim, polemik RUU yang
berlaku hari ini amat menyedihkan apabila usaha memartabat Mahkamah
Syariah yang menjadi tanggungjawab kita bersama telah tercemar dengan
sindrom ketakutan ramai pihak akibat dari tindakan tidak
bertanggungjawab yang menunggang sentimen ini untuk manfaat sokongan
politik.
Abim sentiasa berlapang dada bersama dengan mana-mana
pihak untuk memartabat kedudukan Mahkamah Syariah, namun ia harus
bertunjangkan niat yang ikhlas dan murni serta diiringi semangat
perbincangan dan musyawarah dengan semua pihak demi kepentingan masa
depan Islam.
Prosedur serta road map yang jelas dari peringkat
awal hingga ke pelaksanaan juga harus dirangka sebaik-baiknya bagi
mengelakkan implikasi buruk di kemudian hari.
Maka, Abim
mengulangi tuntutan untuk kerajaan tampil memberi penjelasan yang
menyeluruh kepada umat Islam sekiranya kerajaan benar-benar
bertanggungjawab mahu memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah di
Malaysia.
* Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah Setiausaha Agung Abim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.