KANGAR
– Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyaran
pengamal media agar tidak melayani sebarang publisiti dengan menyediakan
laporan yang mencerminkan kejahilan, provokasi, tahyul dan informasi
tidak berkualiti.
Baginda
bertitah sebaliknya media berperanan menyediakan berita yang memberi
fokus kepada informasi yang mampu mendidik masyarakat menjadi berilmu,
bersahsiah dan memberi inspirasi ke arah generasi yang berminda kelas
pertama.
“Berita
dan publisiti yang tidak berkualiti banyak merugikan masa rakyat,
memalukan negara, dan mencetekkan akal fikiran manusia sehingga dunia
sekarang banyak berlaku salah faham tentang banyak hal.
“Salah
faham itu juga termasuk yang melibatkan kesucian dan kebenaran agama
Islam. Ia bukan sahaja ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam, malah
diburukkan lagi oleh informasi yang tiada nilai lalu menjadikan rakyat
jahil, pemimpin serta manusia yang rosak dan mengikut hawa nafsu,” titah
baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan program Perkampungan Sunnah Siri Keempat di Masjid Alwi, di sini malam tadi.
Turut
berangkat pada majlis tersebut Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin
Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen
Akashah Khalil.
Hadir sama
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Exco Agama dan Sumber Manusia
Negeri, Khairi Hassan.
Program
itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk sama-sama menimba ilmu
dalam suasana harmoni dan sejahtera selain memupuk nilai masyarakat
dengan ketinggian ilmu dari aspek kehidupan, sama ada dari sudut ibadah
khusus mahupun sains.
Baginda
bertitah program perkampungan sunnah kali ini juga mengangkat martabat
keilmuan dan sarjana para imam mujtahid terdahulu yang telah mencapai
tahap yang tinggi dalam menyelesaikan pelbagai masalah umat.
“Semua
kaedah, tafsiran, pandangan, dan hujah imam mujtahid ini kita raikan dan
kita nilai secara kritis dengan melihat perkembangan ilmu dan teknologi
semasa untuk diterima pakai sesuai dengan situasi dan masalah umat pada
hari ini.
“Dalam
meraikan kepelbagaian mazhab, kita hendaklah bebas daripada sikap
melampau dalam beragama kerana walaupun agama Islam tegas dalam prinsip
dan akidah, tetapi ia sangat fleksibel dan memberi kemudahan kepada
keperluan umatnya,” titah baginda. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.