Ahad, 23 April 2017

Isu kontroversi cemar imej PH sebagai kerajaan alternatif - Penganalisis

Oleh Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Isu-isu yang melatari parti pembangkang kebelakangan ini memberi petanda bahawa gabungan yang wujud atas nama Pakatan Harapan (PH) itu bukan satu pilihan yang baik bagi mengemudi negara kelak. 
 
Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, merujuk kepada perkembangan mutakhir ini, laungan kononnya pembangkang adalah alternatif kepada kerajaan sedia ada, membuktikan yang sebaliknya. 
 
“Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pembangkang terutamanya sekali DAP apabila mereka mengatakan yang mereka pemimpin politik yang bersih dari rasuah, bersih dari segi moralnya tetapi apa yang dapat dilihat adalah sebaliknya,
 
“Ianya bukan sahaja menjejaskan kesatuan dalam PH tapi menjejaskan persepsi orang luar terhadap pembangkang itu sendiri mengenai kredibiliti mereka," katanya kepada Antarapos.
 
Azmi juga berpendapat, setiap parti dalam PH mempunyai agenda tersendiri, dan keadaan itu menyebabkan parti-parti itu sering tidak sependapat dalam sesuatu perkara. 
 
Ujarnya, pembangkang hanya sependapat apabila ianya berkisarkan agenda untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
“Jika mereka mengatakan mereka boleh memerintah negara sebagai satu parti, apa yang berlaku dalam pakatan harapan itu sendiri adalah begitu amat kucar-kacir sekali, di mana ahli-ahli PKR,DAP, termasuk Amanah dikatakan bukan sahaja mempunyai tujuan yang berbeza tetapi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah di antara satu sama lain
 
"Jadi jika di dalam parti itu sendiri sukar untuk mengawal keadaan supaya mereka dilihat untuk bersatu apatah lagi dalam memerintah negara.
 
"Ini dikatakan menongkah arus apa yang ketua menteri (Pulau Pinang, Lim Guan Eng) katakan jikalau BN memerintah Pulau Pinang akan kucar-kacir tapi sebenarnya jikalau PH itu memerintah negara, maka negeri itu juga akan menjadi kucar kacir," katanya. 
 
Mutakhir ini pembangkang diselubungi isu-isu kontroversi yang menggugat kredibiliti gabungan berkenaan.  
 
DAP misalnya dihambat isu rasuah melibatkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sehingga beberapa pihak, termasuk dalam kalangan parti itu sendiri mengusulkannya bercuti daripada tugas sementara siasatan dilakukan.
 
Terbaru, gambar kontroversi yang didakwa mirip dua pemimpinnya bermesraan pula tersebar. 
 
PKR turut terpalit apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan Ampang, Datuk Adam Rosly didakwa atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu berhubung pembelian banglo mewahnya.
 
Tidak terkecuali, parti bongsu dalam PH, parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), juga terheret dengan imej negatif selepas bekas pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman mengisytihar keluar parti selepas kecewa dengan amalan pilih kasih, budaya membodek jawatan dan kronisme dalam parti itu.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.