0leh Hafiz Zainuddi
KUANTAN: Sukar dibayangkan bagaimana keadaan sebuah bandar dengan kepadatan 30,000 penduduk tidak memiliki balai polis.
Namun, itulah yang berlaku di Bandar Triang apabila balai polis yang sudah berusia hampir 100 tahun di situ ditutup sejak 1 Disember tahun lalu tanpa sebarang notis.
Akibatnya, bandar terbesar dalam daerah Bera yang mempunyai enam bank, empat kedai emas, dua kedai pajak gadai dan tujuh sekolah terdedah kepada risiko jenayah tanpa perlindungan polis.
Apa yang menghairankan, bandar kecil seperti Kemayan, Mengkuang dan Mengkarak memiliki balai polis masing-masing termasuk pondok polis Kampung Kecil Durian Tawar, ujarnya.
“Orang Triang tidak cemburu dari adanya IPD Bera dijadikan tiada. Tetapi penduduk Triang tidak boleh tiada lindungan tanpa balai polis,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Leong Yu Man dalam ucapan pada persidangan Dewan Negeri Pahang baru-baru ini.
Menurut Yu Man, penutupan Balai Polis Triang juga tidak dimaklumkan kepada pihaknya yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Akibat ketiadaan balai polis, ia memungkinkan berlakunya kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi.
Yu Man yang juga Setiausaha Organisasi DAP Pahang berkata, tidak sampai tiga bulan Balai Polis Triang ditutup, kedai pajak gadai yang terletak kira-kira 20 meter berhadapan balai berkenaan telah disamun.
“Pada 13 Mac baru baru ini, kedai pajak gadai Triang diceroboh, tuan kedai diikat, barang berharga dirompak, anggaran kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit, ini merupakan kes samun yang paling serius berlaku di Triang.
“Jika Balai Triang masih ada, saya percaya penyamun tak akan begitu berani melakukan kes, malahan pada hari siang,” katannya.
Selain itu, Yu Man turut mendedahkan berlakunya kejadian pecah masuk dan bakar melibatkan sebuah kedai kopi berhampiran pada 1 April baru-baru ini.
Manakala pada 4 April, empat kes pecah rumah dan premis melibatkan dua restoran dan dua tokong dilaporkan berlaku.
“Siapa berani cakap, ini tidak berkaitan dengan ketiadaan balai polis?
“Saya tidak faham apa sebab, balai Polis Triang boleh ditutup. Adakah sebab Bandar Triang terlalu aman, terlalu tenteram, terlalu selamat? Betulkah tanpa balai polis, penduduk Bandar Triang masih boleh hidup dengan selesa dan selamat? Jawapannya tidak,” ujarnya lagi.
Balai Polis Triang yang ditutup ini, jelas Yu Man, pernah dinaik taraf menjadi Ibu Pejabat Polis Daerah Bera dan diturun taraf semula kepada balai polis biasa sebelum ditutup.
“Bandar Triang dari bahaya dijadikan selamat, dari selamat dijadikan lebih selamat. Kemudian kembali kurang selamat. Sekarang dijadikan sangat bahaya setelah balai polis ditutup.
“Kerajaan British buat balai polis Triang, Kerajaan BN tutup balai Polis Triang. Adakah ucapan saya salah?
Jika tak salah, pulangkan balai polis kepada penduduk Bandar Triang. Kembalikan keselamatan kepada orang Triang,” gesanya. –Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.