Jumaat, 24 Mac 2017

Wawasan 2020 tidak tercapai, inikan pula TN50

Justeru, kami mengajak rakyat bersama-sama menyokong perjuangan: ‘Negara Ini Ku Bina Semula’ dengan menolak segala korupsi, rasuah dan penyelewengan yang semakin membarah, agar masa depan anak cucu kita akan terjamin dan lebih bahagia

KUALA LUMPUR: Adakah Transformasi Nasional 2050 (TN50) hasil idea PM Najib akan mampu dicapai setelah hampir gagalnya Wawasan 2020? Demikian soal beberapa pemimpin pembangkang

Dalam satu kenyataan bersama hari ini oleh  Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan,  Johari Abdul, Salahuddin Hj Ayub dan Anthony Loke Siew Fook masing-masing mewakili PKR, Amanah dan DAP berkata Perdana Menteri Najib Razak tidak boleh menjadikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai bukti pencapaian pentadbirannya. Sedangkan nisbah secara perbandingan, pendapatan rakyat Malaysia berdasarkan KDNK hanya sekitar 26% berbanding rakyat Singapura sebanyak 49%.

“Bagi kami, selagi mana masih banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan sukar ekoran kos sara hidup tinggi serta kenaikkan gaji yang terlalu kecil maka kerajaan dianggap gagal dalam memberi kemakmuran kepada rakyat.

Selain itu, Pakatan Harapan juga merasakan pentadbiran Najib telah gagal mengatasi sembilan cabaran Wawasan 2020 sebagaimana digariskan oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebelumnya.

“Kegagalan utama apabila negara masih lagi tidak bersatu disebabkan diskriminasi perkauman. Malah Malaysia juga gagal mewujudkan demokrasi yang matang, terutama ketelusan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta tekanan kepada media bebas,” katanya.

“Ini menimbulkan persoalan adakah Transformasi Nasional 2050 (TN50) hasil idea PM Najib akan mampu dicapai setelah hampir gagalnya W2020?” soalnya lagi.

Terdahulu, Pakatan Harapan mengambil maklum mengenai laporan The Edge berhubung pendapatan setiap rakyat Malaysia yang telah jatuh sebanyak 15%  daripada AS$ 10,345 pada tahun 2013 kepada AS$ 8,821 pada 2016 yang mana keadaan ini menunjukkan seolah-olah kita telah gagal untuk mencapai Wawasan 2020 yang akan tiba dalam masa tiga tahun lagi.

“Keadaan ekonomi Malaysia jelas tidak mampu untuk membahagiakan semua orang terutamanya apabila jelas jurang miskin-kaya di negara ini masih lebar (sekitar 0.46 berdasarkan petunjuk GINI Coefficient) yang hanya melihatkan golongan kaya terus menjadi kaya, manakala rakyat bawahan semakin miskin,” jelasnya lagi.

Tambahnya, Pakatan Harapan tidak mempunyai keyakinan yang tinggi ke arah itu, yang mana rakyat juga boleh melihat isi di dalam forum-forum TN50 yang membuktikan Malaysia gagal menyediakan kelengkapan asas untuk membentuk negara maju.

“Sebagai contoh, pemulihan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak serta kelengkapan kemudahan elektrik dan air bersih yang sepatutnya telah ditangani oleh kerajaan sejak sedekad lalu.”

“Dalam hal ini, Pakatan Harapan mengambil berat hala tuju negara yang tidak dirancang dengan baik. Bagi kami, rakyat juga seharusnya memainkan peranan dan perlu prihatin dengan keadaan semasa, kerana hari ini menentukan nasib negara untuk tiga, 10 dan 30 tahun akan datang,” katanya.

“Oleh itu, Pakatan Harapan akan mengumumkan Manifestonya tidak lama lagi yang akan menekankan rancangan jangka masa panjang rakyat dan negara,” tambahnya lagi.

“Justeru, kami mengajak rakyat bersama-sama menyokong perjuangan: ‘Negara Ini Ku Bina Semula’ dengan menolak segala korupsi, rasuah dan penyelewengan yang semakin membarah, agar masa depan anak cucu kita akan terjamin dan lebih bahagia,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.