Umno-BN terdesak apabila menggunakan Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi menyerang Kerajaan Negeri Selangor dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) mengenai Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP bekata, tindakan Ketua Bahagian Sungai Besar itu dilihat lebih bermotif politik dan mencari publisiti murahan ekoran Umno-BN sudah ketandusan isu bagi menawan kembali Selangor.
“Perkara ini diuar-uarkan sejak seminggu lalu dan tindakan terdesak Jamal untuk menyerang Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Pakatan Harapan khususnya DAP termasuk bukan kali pertama laporan polis dibuat beliau.
“Ia secara bersiri bermula dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diikuti ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan kini saya membicarakan isu sama iaitu Yawas yang kononnya saya menyeleweng peruntukan Yawas. Biar polis siasat,” katanya seperti dipetik portal Selangorkini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan polis Jamal terhadap dirinya dengan dakwaan menyalahgunakan peruntukan Yawas sejak 2008.
Beliau menyifatkan serangan Jamal ke atas dirinya sebagai serangan peribadi dan fitnah ekoran terdapat laporan mengatakan beliau mungkin bertanding di Dun Sekinchan.
Lebih-lebih lagi dengan pendedahan dibuatnya mengenai lebih 1,200 pengundi hantu dipindah Jamal ke Dun berkenaan tempoh hari.
“Saya memang tidak pernah curi duit rakyat dan perkara ini tidak pernah berlaku kerana jika pada 2008 saya curi pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang di bawah kuasa Umno-BN awal-awal sudah menahan saya.
“Kita akan kaji (tindakan saman) tetapi saya tidak mahu isu berpanjangan dengan orang tidak bertamadun yang pakai tuala di tengah hari, orang seperti ini saya tidak mahu layan kerana saman ini memerlukan proses panjang, jika dilayan saya pun jatuh standard,” katanya berhubung kesediaan Jamal untuk disaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.