Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui sukar berperanan sebagai diktator disebabkan perlembagaan yang sedia ada berbanding cara beliau menguruskan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun begitu, katanya, ini akan diatur dalam masa terdekat dan beliau akan memastikan akan adanya struktur yang lebih baik, ketelusan dan sikap profesionalisme.
Justeru, katanya, dalam berbuat demikian, beliau akan meletakkan semua orang-orangnya di tempat masing-masing pada hari Isnin.
“Saya akan meletakkan mereka di lembaga disiplin, jawatankuasa tatatertib, jawatankuasa integriti, kewangan dan juga dalam organisasi pasukan kebangsaan.
“Kesemua kewangan dalam FAM dan FMLLP akan diaudit dengan teliti dan secara terperinci oleh orang saya.
“Semua exco akan diberi peranan dan tugas masing-masing, tetapi akan ada batasan dalam setiap tempat. Ini adalah bagaimana saya bekerja,” katanya dalam satu posting di Facebook, Johor Southern Tigers.
Dengan berbuat demikian, Tunku Ismail berkata, penyokong pasti akan mempunyai lebih suara dan mempunyai hak untuk meminta orang-orang di posisi tersebut memberikan prestasi terbaik mereka.
Katanya, exco dan timbalan adalah lebih kepada formaliti dan sudah tentu semua orang perlu bekerja.
Tetapi menurut presiden yang baru dilantik itu, apa yang penting adalah orang yang berada di atas sekali.
“Jeneral selaku pemerintah, dan askar-askar yang akan dikerahkan untuk masuk ke medan pertempuran.
“Ia bukan mengenai para brigadier, kolonel atau mejar. Ia mengenai jeneral,” katanya.
Tunku Ismail yang dilantik sebagai presiden baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sabtu lalu terus mengumumkan Mario Gomez sebagai ketua jurulatih baru skuad bola sepak kebangsaan.
Keputusan itu sekali gus menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee yang kini diberi tugas mengambil alih skuad bawah 22 tahun yang kini dikendalikan Frank Bernhardt.
Tunku Ismail dinobatkan sebagai presiden FAM tanpa bertanding selepas pencabarnya Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.