Baginda bertitah darjah kebesaran negeri amat tinggi nilainya dan tidak ada sesiapa pun boleh memberi cadangan nama, kecuali atas titah perkenan baginda sendiri
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan individu yang mendakwa Darjah Kebesaran Johor boleh dibeli dengan wang ringgit.
Baginda bertitah darjah kebesaran negeri amat tinggi nilainya dan tidak ada sesiapa pun boleh memberi cadangan nama, kecuali atas titah perkenan baginda sendiri.
“Tetapi jika masih ada yang sanggup ditipu, terpulanglah, jangan salahkan saya,” titah baginda dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Johor kepada 102 penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Besar hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah pengurniaan darjah dibuat berdasarkan merit dan taat setia individu berkenaan kepada baginda serta kerajaan Johor.
Selain itu, baginda berharap Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini, dapat dikuatkuasakan dengan segera.
Ia bagi mengawal penyalahgunaan lambang kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengelirukan orang ramai.
Pada masa sama, baginda berharap dengan adanya undang-undang berkenaan, maka tiada lagi kes penipuan dan penyalahgunaan melibatkan lambang dan anugerah.
Ini kerana lambang berkenaan merupakan simbol kedaulatan negeri yang perlu dijaga, bukannya boleh diguna atau dijual sesuka hati, tambah baginda.
Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang membuat, menjual, mengguna atau mempamerkan lambang-lambang yang dilarang seperti jata kerajaan atau mahkota Johor selepas ini boleh dikenakan hukuman denda minimum RM250,000 atau setahun penjara.
“Begitu juga dengan individu yang menggunakan gelaran atau anugerah yang dia tidak ada hak untuk menggunakannya atau yang telah dibatalkan, maka mereka juga boleh dikenakan hukuman denda minimum RM100,000 atau setahun penjara,” titah baginda.
“Saya berharap kerajaan akan membuat hebahan meluas dan terperinci mengenai perkara itu serta memberikan tempoh yang sewajarnya untuk mereka membuka dan menghapuskan lambang-lambang tersebut.
“Selepas tempoh itu, jika masih ada lagi yang degil dan ingkar, maka terimalah padahnya jika ditangkap polis,” titah baginda.
Menyentuh isu lain, baginda menyeru kepada pihak media agar bersikap lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan berita berasaskan fakta dan bukannya bersandarkan kata-kata orang atau cerita tular dalam media sosial.
Baginda menyeru sedemikian, titahnya kerana adakalanya media dilihat lebih gemar membesar-besarkan cerita sensasi atau melaga-lagakan kata-kata pemimpin, hanya untuk menarik perhatian pembaca bagi mengaut keuntungan.
“Ini akan menimbulkan kekeliruan dan perasaan benci-membenci dalam kalangan rakyat yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan masyarakat,” titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.