ANTARAPOS.COM
PETALING JAYA: Tiga wakil rakyat Pakatan Harapan mungkin tidak dapat
bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya rayuan terhadap
pensabitan mereka tidak didengari segera.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari Amanah, Ahli Parlimen Pandan
Rafizi Ramli (PKR) dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua (PKR) ternanti-nanti
tarikh rayuan mereka.
Selagi rayuan mereka tidak didengarkan, mereka tidak tahu sama ada
pensabitan mereka diringankan sekaligus membolehkan mereka bertanding
nanti.
Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyebabkan seseorang hilang
kelayakan menjadi ahli Parlimen selama 5 tahun jika beliau disabitkan
suatu kesalahan dan dihukuman dengan pemenjaraan selama tempoh tidak
kurang daripada 1 tahun atau denda RM2,000.
Mereka bertiga tidak akan dapat bertanding pada PRU14 kecuali mahkamah
rayuan mengetepikan pensabitan atau mengurangkan denda kepada bawah
RM2,000 dan tempoh pemenjaraan kurang daripada 1 tahun sebelum Dewan
Rakyat dibubarkan.
Memetik laporan FMT, Peguam Rafizi, Chua Tsu Fae berkata hakim
perbicaraan belum menyediakan penghakiman bertulis untuk kes anak
guamnya.
Mengikut arahan mengenai amalan oleh ketua hakim, hakim Mahkamah Tinggi
dan mahkamah rendah perlu menyediakan penghakiman bertulis dalam masa 8
minggu selepas rayuan dibuat.
Mahkamah, pada 14 September tahun lepas, mendapati Rafizi bersalah dan
dijatuhi hukuman 18 bulan penjara kerana mendedahkan laporan sulit audit
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau memfailkan rayuan dalam tempoh masa 14 hari yang ditetapkan.
Rafizi, yang juga naib presiden PKR, dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 sementara menunggu keputusan rayuannya.
Pada 19 Januari, Khalid didenda RM2,900 oleh mahkamah rendah syariah
kerana mengajar Islam tanpa tauliah di suatu acara di sebuah surau di
Kapar, Selangor, 6 tahun lalu.
Beliau memfailkan rayuan dengan segera selepas pensabitan itu tetapi
Mahkamah Tinggi syariah tidak dapat menetapkan tarikh pendengaran rayuan
kecuali ada penghakiman bertulis.
“Tarikh belum ditetapkan. Penghakiman bertulis juga belum ada,” kata Khalid.
Peguam syariah Mohd Amir Shahril Bahari berkata hakim perbicaraan perlu
menyediakan penghakiman bertulis dalam masa 1 bulan apabila rayuan
difailkan.
Pada 9 Mac, Tian Chua didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas
didapati bersalah mengaibkan pegawai polis DSP Glenn A Sinappah di
sebuah hotel di Petaling Jaya, pada 14 April 2014.
Beliau didapati bersalah mengeluarkan perkataan kesat terhadap pegawai polis itu.
Tian Chua merayu pensabitan itu. Dalam kesnya, hakim perbicaraan masih mempunyai masa untuk mengemukakan penghakiman bertulis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.