Dalam
keghairahan hendak menyerang saya, Pasukan Strategik Barisan
Nasional-BN tidak memahami apa yang saya nyatakan tentang harga minyak
Arab Saudi yang telah dinaikkan 50 % (menjadi RM 1.07). Datuk Seri Mohd
Najib Razak kata Malaysia naik hanya 20 % (menjadi RM2.30 ) sahaja.
Pertamanya,
perbandingan harga minyak Arab Saudi yang jauh lagi kaya dengan
Malaysia yang negara masih sedang membangun, yang tidak ada gaji minima
pun lagi, adalah tidak munasabah. Kebanyakkan rakyat Saudi boleh
memiliki kereta enjin kapasiti besar melebihi 4,000 c.c. kerana mereka
kaya.
Kedua,
taraf hidup dan kemudahan dinikmati rakyat dua Negara ini juga jauh
berbeza untuk dibuat perbandingan. Contohnya lagi kerajaan Malaysia
dahulu membuat perbandingan Singapura mempunyai GST dengan kadar 7 % dan
Malaysia GST hanya 6 %. Sebenarnya status Singapura adalah ditahap
negara maju dengan gaji minima, sementara Malaysia masih di tahap negara
sedang membangun dengan gaji minima yang di cadangkan sebanyak RM1,200
masih belum pun lagi di penuhi. Kerajaan juga tidak menyatakan kepada
rakyat yang Singapura sebenarnya memulakan GST dengan kadar 3 % sahaja
sementara Malaysia memulakannya di kadar 6 %, ia itu sekali ganda dari
kadar permulaan asal Singapura. Saya minta Pasukan Strategik BN jangan
cuba mengelirukan rakyat. Mohon baca betul- betul kenyataan asal saya.
Terima
kasih saranan Pasukan Strategik BN untuk saya pelajari dari Program
Transformasi Arab Saudi. Bagaimana pun saya menasihati Kerajaan Malaysia
dan BN "ukur baju di badan sendiri" kerana situasi ekonomi Arab Saudi,
sistem Kerajaan ber-Raja tanpa pilihanraya umum dan sokongan hebat
Amerika tidak sama dengan situasi Malaysia. Jangan kita meniru buta-buta
sistem negara lain tanpa mengambil kira realiti di bumi
sendiri.
Akhir
sekali saranan Pasukan Stategik BN untuk "Raja Bahrin menutup mulut"
dari mengkritik Kerajaan sangat tidak strategik dari pemikirannya dan
seolah-olah seperti ke arah sistem "Negara Kuasa Mutlak" seperti Arab
Saudi yang tidak mempunyai sistem demokrasi berParlimen. Adakah Pasukan
Strategik BN mengesyorkan Kerajaan menutup mulut pembangkang dan
mengubah sistem Negara ke arah kuasa mutlak yang di pelajari dari Arab
Saudi ? Kerana itukah kuasa mengistiharkan "darurat" hanya di tangan
Perdana Menteri sekarang melalui pindaan Akta di Parlimen di bawah
Majlis Keselamatan Negara - MKN ?
Akhir kata, selalunya mereka yang menyuruh orang lain "menutup mulutnya" dari berhujah tidak mempunyai intelek dan keupayaan mengupas dan berhujah isu dengan bijak. Sepatutnya mereka bersedia berhujah secara ilmiah bukan suruh orang lain tutop mulut apabila tidak ada idea yang baik seperti sepatutnya dimiliki oleh Pasukan Strategik. Kalau begitu "Pasukan Strategik" ini patut dipanggil "Pasukan Trajik" kerana tidak faham konsep demokrasi berParlimen tapi mereka lebih mendekati konsep kuku besi ingin tutup mulut lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.