Khamis, 30 Mac 2017

Menteri gagal jawab isu DLP

MALAYSIAKINI
 
Anggota Parlimen Kapar, G Manivannan, mendakwa Menetri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal memberi penerangan berhubung Program Dwibahasa (DLP) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Mahdzir gagal menjelaskan bagaimana kelemahan dan kegagalan pelaksanaan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperhalusi dan diperbaiki sebelum DLP diperkenalkan.

"PPSMI adalah sebuah dasar, manakala DLP hanya sebuah program. Fakta ini diakui oleh menteri.

"(Namun) menteri gagal menerangkan bagaimana satu dasar yang gagal diperkenalkan tanpa sebarang perubahan dalam bentuk sebuah program?

"Tambahan kepada itu, menteri juga gagal menerangkan bagaimana sebuah program menjadi lebih hebat daripada sebuah dasar?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan memansuhkan rancangan melaksanakan PPSMI pada 2012 selepas mendapat bantahan pejuang serta pencinta bahasa Melayu.

Keputusan itu diumum Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau masih bersama Umno dan menduduki jawatan Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun kerajaan kemudian memperkenalkan DLP walaupun ia masih mendapat tentangan pejuang bahasa. Pemimpin atasan Dewan Bahasa dan Pustaka pula dilaporkan turut menyokong pelaksanaan program berkenaan.

Manivannan berkata, DLP bersifat sebuah program dan memang boleh dinaik taraf menjadi dasar jika terbukti ia berkesan.

Bagaimanapun, kata anggota parlimen PKR itu, sebuah dasar tidak boleh diturunkan tarafnya menjadi sekadar suatu program.

"Ini dengan jelas membuktika kerajaan sedang melakukan percubaan untuk memperkenalkan PPSMI dengan menggunakan perkataan baru.

"Secara jelas hanya wujud satu perbezaan (di antara kedua-duanya) iaitu DLP - disebabkan ia sebuah program - maka sekolah, guru besar dan ibu bapa mempunyai pilihan untuk mengikuti program ini atau tidak," jelasnya.

Bagaimanapun, tambah Manivannan, kerajaan tidak boleh berselindung dan menyelimut diri mereka dalam kekaburan "pilihan".

"Dengan menggunakan kerangka 'pilihan', kerajaan telah menyediakan defence (ruang pembelaan) iaitu mengecualikan diri mereka sekiranya program ini gagal," ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.