TANJUNG KARANG: Nasib golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya golongan veteran kurang upaya (VKU) di Selangor sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran jasa dan pengorbanan veteran terbabit demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Kita tidak lupakan pengorbanan besar anggota keselamatan khususnya tentera dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Mulai tahun ini, Kerajaan Negeri memberikan sumbangan kepada tabung pahlawan dan sebahagiannya kita peruntukkan untuk kebajikan, kesihatan serta mungkin juga pendidikan anak mereka.
“Dalam tempoh tiga bulan, ini kali ketiga kita berada di Kuala Selangor untuk menyampaikan bantuan kepada veteran angkatan tentera yang kali ini kita sumbangkan RM10,000 di atas pengorbanan besar VKU yang mengalami masalah kesihatan kencing manis yang memerlukan kos perubatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada program Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama Daerah Kuala Selangor di Masjid Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.
Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi membiayai program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera membabitkan bantuan keperluan perubatan dan kebajikan 89 veteran tentera cedera perang di Selangor, tahun ini.
Sebanyak RM500,000 pula diperuntukan terus ke dalam Tabung Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2017.
Terdahulu, Mohamed Azmin meluangkan masa mengunjungi VKU, Abu Hassan Sulong di kediaman beliau di Taman Bukit Belimbing, di sini, bagi menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000.-NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.