.
Oleh Aliff Fikri
PUTRAJAYA: Peguam saudara Anwar Ibrahim bakal mengemukakan bantahan terhadap tindakan mahkamah membatalkan rayuan pendengaran kes Ketua Umum KEADILAN itu melawan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di saat akhir.
Peguam Latheefa Koya berkata, pembatalan itu tidak adil sama sekali kerana menghalang Anwar memberi hujah.
“Sepatutnya hari ini Anwar hadir untuk pendengaran rayuan dalam kesnya terhadap SPR berhubung hak beliau untuk mengundi walaupun dipenjara.
“Tapi mahkamah mengambil keputusan pada 24 Mac bahawa kehadiran Anwar dibatalkan dan pihak mereka hanya memberitahu kami tentang pembatalan itu semalam, 27 Mac.
“Jadi peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menyatakan beliau akan mencabar pembatalan itu kerana Anwar berhak untuk hadir dan tindakan mahkamah itu juga bertentangan perlembagaan,” katanya kepada media di Mahkamah Rayuan, di sini.
Sri Ram menegaskan, beliau akan memfailkan permohonan bantahan itu dalam tempoh 10 hari kerana keperluan untuk membuat temu janji dengan pihak penjara.
Kata beliau, tindakan mahkamah sangat tidak munasabah dan secara tidak langsung menghalang Anwar memberikan keterangan.
Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula Anwar terhadap SPR dan dua yang lain berhubung penafian haknya untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menyatakan, penolakan itu dibuat berikutan SPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan Anwar yang kini dipenjara dari menjalankan hak beliau sebagai pengundi.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 6 Mei 2015, Anwar menamakan SPR dan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (ketika itu) serta kerajaan sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Anwar memaklumkan, sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap dirinya, beliau sudah mendaftar sebagai pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.