ANTARAPOS.COM
TEMERLOH: Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD)
dinaiki merempuh belakang sebuah treler berhenti di lorong kecemasan di
Kilometer 113.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, pemandu, Eng Jaa Jaan,19, dan Lai Kok
Mun,32, masing-masing dari Kuala Lumpur, maut di tempat kejadian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, Tajuden Ibrahim,
berkata mangsa dalam perjalanan ke Kuantan dari Kuala Lumpur ketika
kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, Jaa Jaan dipercayai tidak sempat
mengelak sebuah treler dipercayai rosak yang berhenti di lorong
kecemasan," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat
Mentakab bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan
kecemasan pada jam 6.39 pagi.
Katanya, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan
mayat mangsa yang tersepit sebelum dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad
Shah (HOSHAS).
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang
Superintendan Mohd Noor Yusuf Ali, berkata, kes disiasat mengikut
Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.