Sabtu, 25 Mac 2017

DAP perintah Malaysia selepas PRU 14?

Alang Ibn Shukrimun
 
 
Sebagaimana Umno mengetuai BN, DAP mempunyai peluang yang baik mengetuai Pakatan Pembangkang menerajui pentadbiran negara jika majoriti rakyat memilih mereka di PRU14 nanti


MUNGKIN telahan ini agak kelakar bagi sebilangan pihak memandangkan kerusi yang ditandingi DAP kini sekitar 70 kerusi sahaja.

Sedangkan majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan adalah 112. Tetapi jika dilihat melalui data-data yang ada, andaian ini sangat munasabah.

Jika kita melihat kerusi-kerusi parlimen yang dimenangi DAP sejak 1995, kita akan mendapati peningkatan mendadak bermula tahun 2008.

Tahun 1995, mereka cuma memiliki 9 kerusi. Tahun 1999 walaupun bersama gabungan parti pembangkang dalam Barisan Alternatif, mereka cuma berjaya menambah satu kerusi menjadi 10 walaupun parti dominan Melayu lain seperti PAS dan PKR mengalami peningkatan mendadak.

Lim Kit Siang pernah menyuarakan kebimbangan selepas melihat peningkatan drastik kesedaran politik di kalangan orang Melayu menerusi blognya pada masa itu. Tahun 2003, DAP mengambil keputusan untuk keluar dari BA sebagai protes disebabkan gagal memaksa PAS membuang Islam dari dasarnya dan negara Islam sebagai matlamat perjuangannya.

Faktor perpecahan pembangkang disamping faktor-faktor lain telah menyebabkan BN kembali menang besar pada 2004 menjadikan ia kemenangan terbesar sejak 1978.

Kemerosotan undi pembangkang juga besar apabila PAS hanya menang 7 kerusi berbanding 27 pada 1999. PKR pula hanya tinggal satu dari lima yang ada. Ironinya, DAP konsisten meningkatkan jumlah kerusi di parlimen, dengan dua lagi penambahan menjadikan 12.

Tahun 2008 merupakan kekalahan besar buat BN sepanjang sejarah PRU lepas apabila dinafikan majoriti 2/3 di parlimen buat kali pertama.

Berlaku peningkatan mendadak lebih 150% kepada kerusi DAP menjadikan ia 28. Tahun ini juga buat pertama kalinya DAP Berjaya mengambil alih Pulau Pinang dari parti Gerakan.

Selain itu PAS berjaya menambah dari tujuh kerusi parlimen kepada 23 kerusi serta berpeluang memerintah Kedah dan Perak. PKR pula dianggap paling berjaya, daripada satu kerusi parlimen kepada 31 serta diberikan mandat mengepalai kerajaan Selangor.

Tahun 2013, prestasi BN terus merudum walaupun bertukar PM. DAP pula terus melebarkan sayap di parlimen apabila menyapu 10 lagi kerusi tambahan menjadi 38. Sedangkan PAS dan PKR mengalami kemerosotan undi berbanding 2008.

PAS hilang dua kerusi parlimen menjadi 21, sebelum hilang tujuh lagi kerusi apabila enam ahli parlimennya menyertai Amanah dan satu menyertai PKR. PKR juga kehilangan dua kerusi sebelum satu lagi kerusi hilang selepas memecat MB Selangor, Khalid Ibrahim.

Perkara ini menjadikan DAP parti yang terkuat dalam Pakatan Rakyat kerana memiliki jumlah kerusi terbesar dalam Pakatan Rakyat. Oleh sebab itu mereka kini begitu berani dan lantang menunjukkan wajah yang sebenar.

Jika di ambang PRU12 mereka hanya bercakap soal menawan Pulau Pinang, namun melihat potensi yang ada selepas itu, mereka sudah bercakap soal menawan Putrajaya.

Mereka juga semakin berani mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan hak-hak bumiputera, selain kerakusan yang didakwa berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Melihat fenomena peningkatan ketara dan konsisten kerusi DAP walaupun dalam latar belakang yang berbeza, diunjurkan bahawa DAP mampu menguasai sehingga 50 kerusi pada PRU14 nanti.

Kerana itu kini mereka begitu pro-aktif mengimport pemimpin-pemimpin Melayu menyertai partinya supaya dapat menembusi kerusi-kerusi yang memilki nisbah Melayu yang lebih besar dari sebelum ini.

Pada waktu yang sama, mereka terus menggunakan strategi pecah dan perintah terhadap parti-parti lain. PAS telah berjaya dipecahkan kepada serpihan Amanah.

PKR pula secara konsisten mengalami perpecahan demi perpecahan sejak ditubuhkan. Umno kini memiliki satu lagi serpihan baru selepas KITA dan Ikatan iaitu PPBM. Dengan perpecahan parti dominasi Melayu yang berterusan ini, DAP dijangka kekal sebagai parti pembangkang terkuat.

Baki persoalan yang perlu dijawab ialah, walaupun DAP mampu menawan hingga 50 kerusi sekalipun, bagaimanakah mereka mampu untuk menawan Putrajaya yang memerlukan minimum 112 kerusi?

Jawapannya sangatlah mudah. Tengoklah BN sendiri. Jika bergantung pada satu parti sahaja, memang mustahil mereka dapat memerintah. Umno hanya memiliki 89 kerusi. Tetapi dengan bantuan parti-parti komponen lain, mereka memiliki 133 kerusi.

Ini bermakna DAP boleh merealisasikan cita-cita memerintah Malaysia dengan bantuan parti lain dalam Pakatan Harapan. Sedikit dari PKR, sedikit dari Amanah, sedikit dari PPBM sudah cukup untuk mereka menyaingi BN. Jika PAS turut bersama, hampir pasti Putrajaya bakal ditawan pembangkang.

Cuma yang menjadi isu adalah, siapa yang bakal menerajui kerajaan baharu itu? Sudah tentu parti yang memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan, seperti Umno dalam BN sekarang.

Maka jelaslah sebagaimana Umno mengetuai BN, DAP mempunyai peluang yang baik mengetuai Pakatan Pembangkang menerajui pentadbiran negara jika majoriti rakyat memilih mereka di PRU14 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.