PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih memerlukan
kerjasama politik dengan PAS berbanding PKR, kata Menteri Besar Selangor
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata PPBM dan PAS mempunyai tarikan tersendiri kepada
pengundi Melayu luar bandar, justeru kerjasama antara dua parti itu
penting bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14.
"Mereka (PPBM) seharusnya harus berbincang dengan PAS kerana wujud
pertindihan antara dua parti itu bersabit pengundi yang disasarkan,"
kata Timbalan Presiden PKR itu.
"Mereka (PPBM) kena balik ke kerusi-kerusi yang majoritinya pengundi
Melayu yang secara tradisi diletakkan calon PAS. Jadi mereka (PPBM) yang
lebih memerlukan PAS, berbanding kita," tambah beliau kepada akhbar
Malay Mail.
Sungguhpun PPBM-PAS menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk
memperincikan bidang kerjasama antara dua parti itu namun hubungan
mereka masih penuh persoalan.
Ini kerana tuduhan-tuduhan melulu Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir
Mohamad terhadap pimpinan utama PAS dan kerjasama PPBM dengan Amanah dan
DAP – dua musuh politik utama PAS.
Azmin menggesa pemimpin PPBM dan PAS supaya mengenepikan sebarang perbezaan untuk memantapkan cabaran pembangkang pada PRU 14.
Beliau berkata Selangor menjadi contoh jelas 'di mana pemimpin yang berbeza pandangan masih boleh bekerjasama'.
Kerajaan negeri pimpinan Azmin merangkumi wakil DAP dan PAS walaupun
dua parti itu memutuskan kerjasama politik mereka selepas PRU 13 ekoran
perbalahan berterusan.
Kerjasama DAP-PAS di peringkat Selangor itu bagaimanapun dilihat
semakin rapuh menjelang PRU14 dan DAP kini cuba meraih sokongan pengundi
Melayu menerusi permuafakatan dengan Amanah dan PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.