Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: PKR enggan mengulas lanjut berhubung aduan yang dibuat oleh
badan bukan kerajaan (NGO) Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) bersabit kekayaan ‘luar biasa’ pegawai khas kepada
Datuk Seri Azmin Ali, Hilman Idham.
Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin laporan terhadap SPRM
yang dibuat oleh NGO Selangor itu, sebelum ini pernah dibuat oleh
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin
yang dakwanya sebagai seorang yang tidak betul.
Justeru, Zuraidah enggan mengulas berkenaan salah guna kuasa yang
melibatkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diperintah PKR itu.
“Chegubard punya cerita merepek yang awak nak tanya, malas aku nak
layan,” katanya ringkas, ketika diaju soalan berkenaan isu tersebut.
Semalam, Chegubard menyambut baik tindakan Gabungan badan bukan
kerajaan (NGO) Selangor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) agar segera menyiasat kekayaan luar biasa yang dimiliki pegawai
khas kepada Menteri Besar Selangor, Muhammad Hilman Idham.
Menurut Chegubard, Hilman mempunyai kekayaan luar biasa meskipun baru
dua tahun menjadi pegawai khas kepada Datuk Seri Azmin Ali.
Chegubard turut mendedahkan Hilman mempunyai beberapa buah kereta
termasuk sebuah Audi dan sebuah Alphard selain baru sahaja membeli
sebuah Toyota Altis bernombor pendaftaran BMY300.
Hilman juga dikatakan membeli hartanah berupa sebuah rumah link dua
tingkat, dianggarkan berharga RM850,000, di Seksyen 7, Shah Alam pada
Julai 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.