Peserta Himpunan 355 didapati melanggar syarat perhimpunan mengikut Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa bayi dan kanak-kanak ketika berhimpun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata antara pukul 2 petang hingga 11.30 malam semalam, polis yang bertugas di Padang Merbok dan Jalan Parlimen di sini mendapati ramai peserta perhimpunan itu yang memakai baju ungu membawa bayi dan kanak-kanak.
"Hasil siasatan awal mendapati bayi dan kanak-kanak yang dibawa menghadiri perhimpunan tersebut dalam lingkungan umur tujuh bulan hingga 15 tahun.
"Kes masih dalam siasatan dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Himpunan 355 yang diadakan di Padang Merbok, di sini bertujuan memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.