Ahad, 19 Februari 2017

Pemilihan FAM: Annuar tak cuak, ‘rileks je’

Anne Muhammad


Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak gentar dengan pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)yang hanya membabitkan 39 perwakilan berbanding pemilihan Umno yang melibatkan lebih dari 2,000 perwakilan.

Malah, Annuar yang bertanding merebut jawatan presiden FAM itu berkata, soal pemilihan tersebut tidak perlu terlalu diberikan perhatian khusus dan beliau kini turun ke akar umbi bagi memberi penerangan mengenai isu semasa.

“Pada 25 Mac tarikh pemilihan (FAM) diadakan dan jumlah perwakilan hanya 39 orang.

“Tak payah kita fikir hal itu sampai kita tinggal benda lain. Pemilihan Umno ada 2,000 hingga 3,000 pun kita rileks je. Ini (pula) 39 perwakilan.


“Tak perlu saya terlalu kalut, masa banyak lagi, masa sebenar 25 Mac jadi pada 24 Mac tu saya rasa baru kita berkira.

 “(Sekarang) kita buat kerja penerangan dulu, kita turun negeri dan perkara yang lebih mendesak rakyat berbanding bola sepak,” katanya dalam sidang media di PWTC hari ini.
 
Menjelang Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan, beberapa situasi akan menjadi perkiraan 39 perwakilan daripada 20 ahli gabungan yang akan menentukan pemilik kerusi panas badan induk bola sepak itu.
 
Annuar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi dalam FAM itu.

Bagaimanapun, jelas Annuar, 39 orang perwakilan itu tidak boleh dipandang rendah memandangkan mereka mempunyai pengalaman yang banyak dalam bola sepak.
 
“Orang yang pimpin kesatuan tu kita kena hormat sebab yang pimpin kesatuan itu orang yang terlibat dengan bola lebih lama dari calon yang nak jadi presiden FAM.
 
“Jadi kita kena hormati mereka dan mereka tahu apa yang baik untuk bola sepak,” katanya.
 
Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertemu dengan TMJ.

 “Saya kalau ada peluang jumpa, boleh jumpa. TMJ kawan saya jadi saya tak ada masalah. Ada peluang jumpa kita jumpa, ada peluang runding, kita runding.

 “Pokoknya, soal pemilihan presiden jangan terlalu disensasikan. Ia hanya pemilihan persatuan sukan,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.