Kesilapan diplomatik dalam mengendalikan kes pembunuhan itu boleh mencetuskan perang di Asia Timur dan Asia Pasifik
Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan sikap provokasi Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol susulan pembunuhan seorang lelaki dipercayai abang kepada pemimpin tertinggi negara itu.
Kang Chol secara terang-terangan melemparkan tuduhan bahawa Malaysia bersekongkol dengan ‘tangan’ tertentu dalam perkara itu.
Kang Chol dilapor berkata terdapat ‘terlalu banyak persoalan dan percanggahan’ dan menegaskan pihaknya tidak mempercayai siasatan oleh polis Malaysia.
“Masih tiada bukti yang jelas. Sudah tujuh hari berlalu sejak kejadian itu. Kami tidak boleh mempercayai siasatan oleh polis Malaysia,” katanya dalam satu sidang media di kedutaannya di Kuala Lumpur.
Provokasi berkenaan sememangnya menarik perhatian masyarakat antarabangsa ke atas Malaysia dan di sinilah letak cabaran untuk dasar luar Malaysia.
Kenyataan seolah-olah mahu mencari gaduh dengan kerajaan Malaysia mengundang reaksi daripada Perdana Menteri, Najib Razak dan Menteri Luar, Anifah Aman.
Najib mengambil pendekatan lembut mempertahankan profesionalisme polis dan pegawai perubatan yang mengendalikan kes pembunuhan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Nam.
Namun, Anifah memberikan reaksi yang lebih keras apabila melabel Kang Chol sebagai berbohong, tidak berasas dan berkhayal.
Seingat penulis, tidak pernah Anifah atau mana-mana Menteri Luar Malaysia yang terdahulu mengeluarkan kenyataan keras seperti itu.
Di sinilah ujian sebenar anggota pentadbiran negara mengendalikan kes pembunuhan ini yang penulis kira cukup berprofil tinggi dan boleh mencetuskan perang antara negara-negara dalam dunia.
Rakyat mahu melihat sejauh mana kebijaksanaan pemimpin negara mengendalikan provokasi oleh negara yang memiliki keupayaan nuklear itu.
Harus diingat, Korea Utara masih berperang dengan Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat dan kekal mengungguli ideologi komunis.
Salah perkiraan dalam rundingan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara dalam kes pembunuhan itu, kita janganlah terkejut jika Jepun dan Korea Selatan dibedil peluru berpandu Nodong.
Ketika ini, sudah banyak suara-suara mendesak hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara disemak semula kerana bimbang tanah air kita akan dijadikan medan pertempuran luar oleh Korea Utara terhadap musuh-musuhnya.
Perkara ini wajar dinilai semula bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang neutral dan bebas daripada sebarang konflik antara negara asing.
Pada masa sama, rakyat negara ini dan pelabur perlu terus dipupuk dengan keyakinan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang selamat untuk menjalankan perniagaan dan urusan lain mengikut undang-undang.
Sehingga hari ini, kebijaksanaan anggota pentadbiran Najib dalam berurusan dengan konflik dunia boleh disifatkan sebagai cemerlang.
Bermula dengan kes pencerobohan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu di Sabah, kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 ditembak jatuh, semuanya dikendalikan dengan baik oleh pentadbiran Najib.
Malah, tidak keterlaluan untuk penulis katakan, pentadbiran Najib agak bijak ‘bermain bola’ dengan dakwaan dan siasatan tujuh negara luar mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kes pembunuhan Jong Nam masih lagi sedang hangat ketika ini dan sama-samalah kita perhatikan bagaimana anggota pentadbiran Najib mengendalikan kerenah tidak masuk akal pimpinan Korea Utara ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.