Rabu, 22 Februari 2017

NAJIB, BATALKAN SAJA PERLANTIKAN KETUA AUDIT NEGARA!!

shahbudindotcom


Nampaknya semakin ramai yang mempertikaikan perlantikan Dr. Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara yang baru bagi menggantikan Ambrin Buang yang mula berkuatkuasa 23 Februari ini.

Beliau dipertikaikan bukan saja kerana suaminya, Redzuan Hamid, Ketua UMNO Bahagian Kepong, pernah menzahirkan kesediaan untuk mati demi Najib Razak dan kemudian surat Perdana Menteri meminta  masalah hutangnya dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan diselesaikan di luar mahkamah turut tersebar luas, tetapi juga kerana latar belakang pendidikannya.

Oleh kerana suaminya yang sedemikian rupa, ramai yang meragui kewibawaan Dr.Madinah dalam menjalankan tugasnya nanti benar-benar demi kepentingan negara.

Pihak yang lain pula menilai Najib mungkin sengaja melantik isteri Redzuan Hamid itu sebagai Ketua Audit Negara untuk mewujudkan suasana "menang-menang" kerana budi sokongan suami Dr. Madinah kepadanya selama tidaklah sia-sia.

Dalam keadaan ini, sementara Najib sedang terasak dengan pelbagai isu yang membeliti dirinya, perlantikan Dr. Madinah hanyalah menambahkan lagi beban yang sedia ada pada dirinya.

Lebih memburukkan pertikaian orangramai ialah kerana Dr. Madinah juga hanya berkelulusan sains politik di peringkat ijazah yang diikuti dengan bidang sumber manusia di peringkat sarjana dan doktor falsasah.

Untuk menganalisa angka dan fakta berkaitan pengauditan, Ketua Audit Negara, kalau pun tidak lulusan dalam bidang perakaunan dan audit, ramai yang merasakan sekurang-kurangnya memadailah jika ada kelayakan dalam bidang ekonomi atau kewangan.

Dengan yang demikian, Dr. Madinah beliau bukan saja sudah kurang markah di mata umum dari segi kewibawaan berikutan kedudukan suaminya, tetapi juga kerana kelulusan dan kelayakannya.

Hanya satu cara jika Najib benar-benar ingin memulihkan imej diri dan negara berkaitan hal ini. Beliau perlu membatalkan dengan segera perlantikan Dr. Madinah dan menggantikannya dengan tokoh lain yang lebih berwibawa, berkelayakan dan tidak terkait dengan sebarang unsur untuk mengampu dirinya.

Jika enggan berbuat demikian, bermakna Najib sendiri yang mencemar imejnya atau rela dirinya tercemar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.