ANTARAPOS.COM
KUCHING: Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah memberi bayangan
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin diadakan pertengahan tahun ini.
“Saya tidak tahu tarikh pilihan raya umum, tetapi saya percaya ia akan
diadakan tidak lama lagi, mungkin pada Mei, Jun, Julai atau Ogos,” kata
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Sarawak
2016, semalam.
Beliau yang dipetik The Borneo Post menjangkakan Barisan Nasional (BN)
Sarawak boleh memenangi sekurang-kurangnya 29 daripada 31 kerusi
Parlimen di negeri itu pada PRU14.
“Berdasarkan rekod sebelum ini dan analisis trend di Sarawak, BN bukan
sahaja akan kekal (sebagai kerajaan pemerintah) tetapi Sarawak akan
memberi sumbangan besar kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum,”
katanya dipetik The Borneo Post.
Laporan itu memetik beliau sebagai berkata, rakyat Malaysia mempunyai
pilihan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada yang boleh melindungi hak
dan keistimewaan Bumiputera atau kerajaan pimpinan DAP yang menekankan
kesamarataan untuk semua kaum.
“Kerajaan pemerintah hari ini menjaga Bumiputera dengan baik, khasnya
menerusi dasar melindungi hak dan keistimewaan mereka tanpa menghalang
atau mengehadkan kaum lain daripada berjaya di negara ini.
“Atau mungkin rakyat lebih suka ‘kerajaan pimpinan pihak lain yang akan menafikan hak Bumiputera,” soalnya.
The Borneo Post memetik beliau sebagai berkata: “Daripada 2 pilihan
itu, saya rasa kita tiada pilihan…Jika kita mahu mengekalkan hak
Bumiputera, kita perlu mengekalkan kerajaan BN.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.