Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS memberi jaminan bahawa parti itu tidak akan menjalin
sebarang kerjasama dengan DAP dan Amanah meskipun jika berjaya mencapai
kata sepakat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Mustafa Ali, hubungan
antara PAS-PPBM akan berlangsung seperti mana parti itu menjalin
kerjasama dengan PKR, yang turut terikat dengan DAP dan Amanah di
Selangor.
Beliau menegaskan kerjasama PAS-PPBM tidak harus dikaitkan dengan
sebarang permuafakatan dengan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu
dengan DAP dan Amanah.
"Itu kena tanya Bersatu (PPBM), (PAS) tak campur yang tu. Kita tak ada
hubungan dengan DAP, Amanah. Kita hubungan dengan Bersatu (PPBM). Kita
sama-sama tengoklah lepas ni macam mana.
"Contoh hubungan (PAS) dengan PKR masih berjalan, PKR ada hubungan
dengan DAP. Itu dia punya hubungan, kita tak campur," katanya kepada
Antarapos. Mustafa turut menjadi wakil PAS bersama Timbalan Presiden,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam rundingan bersama PPBM semalam.
Walaupun hasil rundingan antara PAS-PPBM masih belum diketahui
statusnya, namun kerjasama itu menjadi tanda tanya apabila parti
pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebelum ini sering menegaskan
tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan
Amanah.
PAS-DAP memutuskan kerjasama politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU13) berikutan perbalahan berpanjangan antara pemimpin kanan dua
parti itu.
Manakala Amanah pula menjadi musuh PAS dan dilabel sebagai pengkhianat
selepas sebahagian pemimpin dan ahlinya bertindak meninggalkan parti dan
menubuhkan parti serpihan berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai hasil pertemuan semalam, Mustafa berkata
kedua-dua parti sepakat untuk membawa persetujuan yang dicapai semalam
kepada parti kepimpinan tertinggi masing-masing.
"Perkara yang dipersetujui itu akan dibawa kepada pimpinan masing-masing untuk ditandatangani (capai kata sepakat).
"Ia bawa petanda positif. Pengumuman akan dibuat, akan ada sidang media.
"Dari segi persefahaman politik secara prinsipnya dah berlaku, (yang
tinggal) sekarang yang formalitilah (rasmi)," jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.