Selasa, 28 Februari 2017

Kelakarnya saman Tajuddin ini, kata Khalid

MALAYSIAKINI


Anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan saman Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadapnya sebagai “kelakar”.

“Saya nak tunjuk betapa kelakarnya saman ini,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

“Antara lain dia kata saya tuduh dia tak ikut perintah-perintah Allah, kutuk dia akan pergi neraka, tua yang tak layak jadi MP, bukan Muslim yang baik, plaintif adalah munafik.”

Sebaliknya, kata pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, kenyataannya sebelum ini tidak merujuk kepada perkara itu sama sekali.

Kata Khalid, beliau hanya berkata bahasa yang digunakan Tajuddin dalam parlimen sebelum ini tidak menghormati wanita.

Dalam saman itu, yang turut dilihat Malaysiakini, bahagian dianggap kelakar oleh Khalid itu berkaitan kenyataannya dalam sidang media yang menggambarkan tingkah laku Tajuddin yang dikatakan tidak sesuai bagi seorang Melayu-Islam.

Saman yang bertarikh 22 Februari itu difailkan melalui firma guaman Murthi & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tajuddin, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno turut menyaman KiniTV dan New Straits Times berkaitan isu sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.