KUALA LUMPUR - Korea Utara menghantar seorang pegawai kanannya ke Kuala Lumpur untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai perkara berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un.
Pegawai berkenaan, bekas duta besar Korea Utara di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ri Tong Il, tiba hari ini dan mengisytiharkan:"Mulai hari ini, saya akan menjadi jurucakap rasmi."
Bercakap kepada pemberita tempatan dan luar negara yang menghadiri sidang berita di perkarangan Kedutaan Korea Utara di sini, beliau berkata perbincangannya akan ditumpukan kepada tiga perkara.
Katanya tiga perkara berkenaan adalah meminta mayat Jong-nam diserahkan kepada Korea Utara, persoalan berhubung penahanan seorang rakyat Korea Utara oleh polis Malaysia dan 'hubungan persahabatan' di antara Pyongyang dan Kuala Lumpur.
Tong Il juga berkata beliau berharap dapat menyelesaikan 'isu kemanusiaan' yang timbul berikutan kematian Jong-nam, yang hidup terasing daripada Jong-un.
Tong Il bagaimanapun enggan memberitahu bila pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia akan diadakan atau berapa lama beliau berada di negara ini.
Setakat ini, tidak diketahui sama ada Tong Il datang bersendirian atau bersama-sama satu delegasi.
Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi apa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Jong-nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Beliau ke Malaysia pada 6 Februari lepas menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.
Dua wanita - seorang yang menggunakan pasport Indonesia dan seorang lagi menggunakan dokumen perjalanan Vietnam - ditangkap selepas pembunuhan itu.
Seorang lelaki Malaysia dan seorang lelaki Korea Utara, Ri Jong Chol, juga ditahan. Rakyat Malaysia itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Kedutaan Korea Utara di sini turut menjadi tumpuan media berikutan pembunuhan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.