Ahad, 26 Februari 2017

Dua lelaki bergelar Datuk ditahan buat kenyataan fitnah

ISMA WEB



JOHOR BAHRU – Dua lelaki bergelar Datuk ditahan selepas didakwa membuat kenyataan fitnah berkaitan kemalangan yang mengorbankan nyawa lapan remaja berbasikal, minggu lalu. 

Suspek terlibat ialah berusia 61 tahun merupakan ahli UMNO Bahagian Pagoh, manakala seorang lagi ialah penulis blog berusia 64 tahun yang pernah dipecat daripada UMNO.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, suspek pertama berusia 61 tahun ditahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, kira-kira jam 11 malam tadi, manakala suspek kedua ditahan di Villa Taman Tasik di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 pagi tadi. 

“Penahanan adalah susulan laporan polis yang dibuat pada jam 1.02 tengah hari semalam berhubung kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut membabitkan remaja berbasikal di bandar raya ini, baru-baru ini. 

“Kenyataan itu boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara. Pihak polis bertindak susulan laporan terbabit. “Kedua-dua lelaki yang ditahan dipercayai menyebarkan kenyataan terbabit menerusi aplikasi Facebook (FB),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Susulan penahanan itu, Najmuddin berkata, pihak polis merampas dua telefon bimbit dengan dua kad sim bagi siasatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.