Selasa, 28 Februari 2017

DAP cakap tak serupa bikin, kata MCA

Berita Daily Staff

Parti Bersatu Bumiputra Malaysia (PBBM) juga pernah mendakwa bahawa kemasukan pelaburan China akan menjejaskan periuk nasi rakyat Malaysia dalam cubaan merenggangkan hubungan Malaysia-China.

KUALA LUMPUR: MCA menyelar sikap DAP yang sebelum ini pernah mengkritik parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kerana usaha mereka untuk mengeratkan hubungan Malaysia dan China, namun parti pembangkang tersebur mempelawa China melabur di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China Chuah Poh Khiang menyelar Ketua Biro Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong yang menurutnya mengamalkan dwi-standard apabila ‘bercakap tidak serupa bikin’ berhubung perkara itu.

“Dahulu Liew sering mengutuk usaha MCA dalam mempereratkan hubungan antara Malaysia dan China dengan tujuan membantu usahawan-usahawan tempatan meluaskan pasaran ke luar negara, sebagai tidak patut.

“Akan tetapi, Liew nampaknya telah mengubah pendiriannya dalam sekelip mata apabila dia bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mempelawa Duta China ke Malaysia untuk meninjau potensi pelaburan di negeri tersebut, menyerlahkan sikap DAP yang hipokrit dan berubah-ubah,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Chuah berkata, Parti Bersatu Bumiputra Malaysia (PBBM) juga pernah mendakwa bahawa kemasukan pelaburan China akan menjejaskan periuk nasi rakyat Malaysia dalam cubaan merenggangkan hubungan Malaysia-China, namun DAP hanya membisu, malah turut mengeluarkan kenyataan untuk mengiyakannya.

“Tetapi kini DAP telah membuat satu pusingan ‘U’ secara mendadak apabila cuba menonjolkan yang ia menghargai hubungan baik Malaysia-China pula.

“Ini menunjukkan bahawa DAP sanggup membuat apa-apa sahaja untuk menyerang dan memfitnah lawannya semata-mata ingin mengaut kepentingan politik,”katanya.

Tambahnya, DAP tidak mempunyai prinsip dan sanggup membuat pusingan-U pada bila-bila masa.

“Jika kita mengikut logik DAP, apa-apa yang dibuat kerajaan BN adalah salah, dan hanya DAP yang betul.

“Tindakan mereka ini hanya menonjolkan sikap DAP yang tidak berprinsip,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.